Pakar Produk Oppo, Ray Wong berkata, pelanggan yang membuat pra-tempahan juga akan menerima aksesori tambahan percuma bernilai RM437 terdiri daripada bekas bateri bernilai RM199 dan jaminan perlindungan skrin bernilai RM119.

“OPPO Reno ditawarkan pada harga RM1,999 seunit dan bagi mereka yang membuat pra-tempahan awal, boleh mengambil telefon pintar terbaharu ini bermula 28 Mei ini,” katanya pada majlis pelancaran OPPO Reno di sini semalam.

Tambah Wong, telefon pintar model terbaharu keluaran OPPO itu menampilkan paparan skrin OLED 6.4 inci dan dilengkapi dengan kaca Corning Gorilla generasi keenam bagi meningkatkan lagi daya ketahanannya.

Beliau berkata, telefon pintar terbaharu itu dilengkapi de­ngan kamera 48 megapiksel (MP) + 5MP, mod ultra malam 2.0, pemetaan warna, video 4K dan mod potret artistik yang ­ditambahbaik.

“OPPO Reno bukan sekadar sebuah telefon pintar malah merupakan satu peranti yang membolehkan pengguna mengekspresikan kreativiti masing-masing.

“Ia direka untuk memenuhi gaya hidup mereka yang artistik bagi menyokong idea-idea baharu yang ingin dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata, dengan kamera 48MP+5MP dan mod potret yang didatangkan pada model berkenaan mampu menghasilkan gambar bertaraf majalah.

“Biarpun gambar diambil dalam keadaan kurang cahaya, gambar yang dihasilkan masih memberi kualiti mengagumkan,” katanya.

OPPO Reno ditawarkan dalam dua warna, Ocean Green dan Jet Black.