Ketua Pegawai Eksekutif Noir, Eriyca Baiduri Abd. Rashid berkata, rangkaian produk terbaharu itu diformulasi khusus bagi membaik pulih tekstur kulit yang rosak, di samping disasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Produk unik yang ditawarkan menerusi set istimewa Noir Crystal Skin ini berasaskan batu kristal malachite dan pitera yang mempunyai banyak khasiat tersendiri terutama dalam memelihara kesihatan kulit. Malachite adalah batu permata yang menjadi simbol keharmonian masyarakat purba Mesir dan turut digunakan sebagai hiasan kaum wanitanya sebagai perlindungan serta penyembuhan daripada penyakit, selain sering dijadikan serbuk untuk mencantikkan kulit.

“Pitera pula adalah sejenis kandungan yang kaya dengan nutrisi penting untuk kulit dan berkesan memperlahankan tanda-tanda penuaan yang mampu membuatkan kulit muka pengguna kekal muda dan anggun,” katanya di sini, hari ini.

Eryca Baiduri menambah, set produk itu sesuai digunakan bagi semua jenis kulit muka dan mampu merawat kulit muka yang bermasalah seperti jerawat, mengecilkan pori-pori dan juga mampu mencerahkan kulit.

Katanya, pelancaran produk terbaharu itu sebagai tambahan kepada produk sedia ada yang dikeluarkan sebelum ini iaitu losyen pelindung sinaran matahari dan serum merawat masalah jerawat.

“Syarikat menyasarkan jualan sebanyak 10,000 unit sebulan menjelang 2020 selepas menembusi pasaran luar negara seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan Dubai.

“Kami yakin mampu mencapai sasaran itu berdasarkan kepada permintaan tinggi dan maklum balas positif diterima daripada pengguna produk di negara berkenaan,” katanya.

Katanya lagi, biarpun terdapat banyak produk kecantikan di pasaran tetapi pihaknya yakin mampu bersaing berikutan percaya kepada kekuatan produk dihasilkan daripada bahan semula jadi dan selamat digunakan.

Beliau memberitahu, sehingga kini pihaknya mempunyai 400 ejen dan 40 stokis di seluruh negara. - UTUSAN ONLINE