Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, RM100 juta diperuntukkan untuk menaik taraf kapasiti Milo di kilangnya di Chembong, Negeri Sembilan sementara baki RM120 juta untuk menaik taraf kapasiti kilang yang lain.

Menurut beliau, pihaknya memperuntukkan RM147 juta untuk capex pada tahun lalu dan peruntukan tertinggi adalah pada 2014 iaitu sebanyak RM362 juta.

“Nestle mempunyai tujuh kilang di Malaysia dengan kilang Chembong kini mengeluarkan produk Milo, Kitkat dan ais krim.

“Pengeluaran Milo yang dinaik taraf itu akan beroperasi sepenuhnya pada September dan bakal meningkatkan lagi kedudukan Nestle dalam segmen itu,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan ke-35 di sini hari ini.

Mengenai permintaan produk Nestle, Aranols berkata, beliau yakin permintaan terhadap produk Nestle akan kekal kukuh di sebalik pasaran pengguna yang tidak menentu ketika ini.

Katanya, ia dapat dicapai dengan melakukan inovasi, segmen nutrisi dan pelaksanaan saluran-saluran baharu dan susun atur kedai.

“Produk inovasi menyumbang 10 peratus kepada jualan pada 2018 dan dijangka meningkat kepada 15 peratus dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang.

“Perkongsian pasaran Nestle kini pada 15.7 peratus merupakan pengusaha nombor satu dalam bidang makanan dan minuman di Malaysia,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE