Kemudahan yang terletak di Bangsar South City dekat sini, juga disifatkan kritikal bagi membantu pihak bank, peruncit dan restoran menyempurnakan usaha transformasi digital masing-masing.

Naib Presiden Kanan Per­khidmatan Penghantaran Global NCR, Bill Bancroft berkata, pusat perkhidmatan itu akan menyediakan khidmat bantuan pelanggan sepanjang masa di 12 negara.

“NCR komited untuk mengutamakan pelanggan dan membolehkan mereka mencapai kejayaan ketika memulakan perjalanan transformasi digital masing-masing.

“Pusat ini juga akan memacu kecemerlangan perkhidmatan menerusi teknologi canggih untuk rangkaian transaksi digital yang kompleks dan disokong oleh infrastruktur Malaysia yang boleh dipercayai, kerajaan yang stabil, lokasi strategik dan kumpulan pekerja dengan pelbagai latar belakang,” katanya selepas me­lancarkan pusat perkhidmatan itu di sini hari ini.

Pusat itu dikendalikan oleh 400 profesional terlatih dan fasih pelbagai bahasa yang akan be­kerjasama menggunakan per­khidmatan digital dan turut me­ninjau cara baharu, inovatif untuk mengurus, memantau dan menyelenggara rangkaian urus niaga untuk bank, kedai dan restoran.

Bancroft berkata, perkhidmatan digital saling bersambung itu merangkumi modal insan, pemprosesan, pengetahuan dan mekanisme berkaitan.

“Menerusi NCR, kalangan peruncit dan restoran akan mampu memiliki penyelesaian mudah yang bersambung dan direka khusus untuk pengha­silan teknologi baharu dan ­legasi seiring dengan bantuan pakar yang dapat membantu bagi mengembangkan perniagaan,” katanya. – BERNAMA