Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, sejak dua tahun lalu kira-kira 98 tan metrik nangka madu yang ditanam seorang pengusaha di TKPM dieksport ke London.

“Saya berasa bangga kerana satu lagi produk pertanian dari bumi Pahang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, Penduduk di kota London sekarang sudah boleh menikmati nangka segar dari Lanchang.

“Saya difahamkan pada masa ini sebanyak 15 hingga 20 tan metrik nangka dihantar ke London setiap bulan oleh Syarikat Dimensi Sejahtera dan masih tidak mencukupi memandangkan permintaan terus bertambah," katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran From Lanchang to London di ladang nangka TKPM Lanchang di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Pertanian negeri, Datuk Zahimi Hassan dan Pengusaha Ladang Dimensi Sejahtera, Yussof Buya­min.

Ladang Dimensi Sejahtera yang diusahakan Yussof sejak 2008 mempunyai 5,000 pokok nangka madu di tanah seluas 40 hektar di TKPM Lanchang.

Menurut Mohd. Soffi, de­ngan jaringan pemasaran yang diwujudkan Lanchang to London, diharapkan ladang-ladang lain merebut peluang bersama menghantar nangka keluar negara selain pasaran domestik.

Katanya, kerajaan negeri akan terus membantu dan menyokong pengusaha-pengusaha ladang pertanian termasuk dalam memperluas pasaran produk pertanian mereka.

Sementara itu, Yussof berkata, syarikatnya yang mendapat pengiktirafan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan berjaya mengikut pelbagai prosedur ketat berjaya memasarkan nangka ke pasar raya dan pasar borong di London.

“Pada masa ini sambutan yang diterima oleh penduduk London amat baik yang mana nangka berkenaan dijual di pasaran London dengan harga RM22 sekilogram.

“Banyak pihak di London mahu kita memasarkan terus hasil nangka tetapi kita tidak dapat melakukannya memandangkan banyak prosedur perlu dipatuhi,” ujarnya.