MSM dan CSR dalam kenyataan bersama berkata, keputusan itu dibuat tanpa memahami sepenuhnya latar belakang, tanggungjawab semasa terhadap industri gula tempatan serta impak jangka sederhana dan panjang terhadap bekalan gula dan keselamatan makanan negara.

Jelasnya, harga runcit gula bertapis semasa di Malaysia adalah pada RM2.85 bagi setiap kilogram yang mana ia adalah antara yang termurah di dunia.

“Harga gula lebih murah berbanding gula mentah yang dihasilkan di negara-negara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina. Malah, ia lebih rendah daripada negara dengan pendapatan per kapita rendah seperti Kemboja, Vietnam dan lain-lain negara.

“Adalah penting untuk menjelaskan laporan media yang tidak tepat baru-baru ini berhubung harga gula untuk pengeluar F&B di Sarawak. Pengeluar gula tempatan menjual gula pada kos lebih rendah daripada dilaporkan iaitu RM2.70 per kilogram kepada pelanggan industri di sebalik kos logistik yang tinggi,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, gula merupakan barang kawalan di Malaysia dan harga kawalan gula bertapis ditentukan oleh kerajaan.

Katanya, industri gula adalah perniagaan kitaran dan harga semasa global yang rendah ketika ini disebabkan terdapat lebihan di pasaran.

“Ia sama seperti komoditi lain yang harganya akan meningkat selepas beberapa tempoh waktu. Tambahan pula, harga gula mentah purata adalah AS$331.35 per tan metrik (RM1,325.42 per tan metrik) di tempat asalnya dalam tempoh lebih tiga tahun dan dijangka akan terus meningkat pada masa depan.

“Pengeluar gula tempatan juga telah bertahun menyerap turun naik harga serta perbezaannya antara pada dunia dan harga siling domestik termasuk faktor tukaran asing (Fx). Ini juga menjadi punca kepada kerugian sesetengah kilang dan bukannya disebabkan ketidakcekapan seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” jelasnya.

Berhubung jaminan kualiti dan pensijilan, kedua-dua syarikat berkata, komponen utama bagi memastikan kualiti gula untuk pelanggan adalah standard tinggi yang diperlukan dalam penghasilan gula termasuk sijil halal yang mana ia merupakan keperluan kritikal untuk pasaran Malaysia.

Menurutnya, dari sudut pandangan pengguna, gula yang dibeli oleh syarikat-syarikat yang menerima AP mungkin tidak memiliki pensijilan halal dan jika ada ia kekal diragui kesahihannya.

“Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati semasa membeli dan menggunakan produk yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat F&B ini,” katanya.

Tambahnya, pengeluar gula bertapis tempatan menggesa kerajaan untuk menimbang semula keputusannya dan melibatkan industri untuk penyelesaian jangka panjang.

“Dalam jangka pendek keputusan itu mungkin dianggap langkah populis yang menyebabkan industri terpaksa mengurangkan kos untuk bertahan. Ini termasuk penutupan stok keselamatan untuk negara dan menutup kilang-kilang yang rugi bagi mengurangkan kos serta kapasiti.

“Kesan negatif ini tidak dapat dielakkan dalam jangka sederhana dan panjang terutamanya apabila harga gula global meningkat. Ini merupakan risiko kepada negara yang kita tidak mahu ambil,” katanya. - UTUSAN ONLINE

HABIS...