Anugerah dalam kategori Kemajuan Rel dan Transit itu mengiktiraf kejayaan penggunaan teknologi BIM dalam reka bentuk dan pembinaan MRT sekali gus menewaskan dua pencalonan lain iaitu China Railway Eryuan Engineering Group Co. Ltd. dan Jacobs/Zephyr UAS.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pengiktirafan berprestij ber­­kenaan merupakan sa­tu detik yang membanggakan buat MRT Corp dan juga Malaysia.

“Anugerah ini mengiktiraf projek MRT Lembah Klang sebagai projek yang berada di depan dalam menerapkan teknologi maklumat terkini bukan sahaja di rantau Asia tetapi di seluruh pelosok dunia,” katanya pada acara itu yang diadakan di Marina Bay Sands, Singapura hari ini.

Shahril berkata, penggunaan BIM telah menghasilkan kecekapan dan ketepatan yang lebih baik dalam reka bentuk dan pembinaan laluan SSP yang jelasnya banyak membantu menjimatkan masa dan kos.

“Ia bukan hanya menggunakan pemodelan tiga dimensi pintar bagi reka bentuk dan pembinaan tetapi juga dalam kecekapan perkongsian aksesibili­ti kepada data oleh lebih 1,500 pengguna daripada pelbagai organisasi terlibat tanpa sebarang kompromi dalam ketepatan.

“Menggunakan teknologi yang serba canggih ini juga amat penting untuk memastikan laluan berkenaan dapat disiapkan tepat pada masa serta menepati kos sasaran,” jelasnya.

Laluan SSP sepanjang 52.2 kilometer merupakan laluan kedua Projek MRT Lembah Klang yang bakal menyediakan sebanyak 35 stesen, 11 daripadanya ialah stesen bawah tanah.

Setakat hujung September 2017, kemajuan pembinaan laluan tersebut ber­ada di paras 15.2 peratus.