Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raymond Cheah berkata, terdapat peningkatan positif dalam jualan hartanah sejak HOC diperkenalkan awal tahun ini.

Katanya, MRCB Land pada tahun lalu hanya menandata­ngani empat perjanjian jual beli (SPA) bagi projek PR1MA, tetapi pihaknya berjaya menandata­ngani 95 SPA dan menerima 300 tempahan selepas pelancaran HOC.

“Industri hartanah negara semakin baik ditambah pula pelaksanaan kempen seperti HOC 2019 banyak membantu meningkatkan jualan. Pihak bank dilihat tidak lagi mengenakan syarat pinjaman yang terlalu ketat kepada pembeli.

“Pada masa sama, kami ada beberapa pelancaran baharu tahun ini termasuk pembangunan bercampur PJ Sentral pada suku keempat nanti. Kami berharap separuh kedua lebih baik daripada separuh pertama tahun ini dan 2018,” katanya dalam Majlis Pengenalan Tiga Penyewa Utama Vivo Signature Retail di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Campus Rangers, Jason Ho; Pengarah Urusan SKM Market, Andy Cham Wing Kian dan Ketua Pegawai Eksekutif SubHome, Sandeep Singh Grewal.

Menurut Cheah, pihak­nya akan menambah bank ta­nah sedia ada dengan menilai ­kawasan-kawasan yang berpotensi untuk pertumbuhan.

“Buat masa ini, kami mempunyai bank tanah seluas 114.12 hektar dengan nilai pemba­ngunan kasar RM31 bilion. Sekarang adalah masa terbaik untuk membeli tanah dan menjalin kerjasama untuk pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Cheah berkata, pihaknya yakin dengan kemasukan tiga penyewa utama iaitu Campus Rangers, SKM Market dan SubHome akan menarik lebih banyak peruncit untuk membuka premis mereka di Vivo Signature Retail.

Katanya, Vivo Signature Retail menawarkan ruang sewaan yang selesa dengan rekaan terkini seluas 20,252 meter persegi bagi kemudahan penduduk serta individu yang bekerja di sekitar 9 Seputeh dan akan beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.