Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s, Simon Chen berkata, ketika ini sektor swasta mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap polisi yang lebih jelas pada Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada 2 November ini.

Menurut beliau, pemain swasta cenderung untuk menantikan apa polisi yang bakal dilaksanakan kerana ia akan memberi hala tuju yang jelas kepada perniagaan mereka.

“Sebelum ini kami optimis akan terdapat pemulihan yang pantas terhadap pertumbuhan pinjaman, namun memasuki penghujung tahun kami berpendapat unjuran berkenaan adalah lebih realistik.

“Polisi yang jelas sangat penting terutama kepada sektor korporat dan dijangka terus mengambil pendekatan berhati-hati untuk perniagaan mereka,” katanya dalam sidang akhbar Prospek Industri Perbankan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Bersekutu Kumpulan Institusi Kewangan London, Henry MacNevin; Naib Pre­siden dan Penganalisis Kanan Moody’s, Anushka Shah dan Naib Pre­siden dan Pegawai Kredit Kanan Moody’s, Nitish Bhojnagarwala.

Sementara itu, Chen berkata, pihaknya mengekalkan unjuran stabil terhadap sistem perbankan negara pada tahun ini disokong oleh keadaan operasi yang terus kukuh.

Jelasnya, unjuran berkenaan juga berdasarkan kepada asas terhadap perbankan negara dan kualiti aset yang stabil, penampan modal serta kecairan yang kukuh.

“Kami melihat kepada kebolehpercayaan kredit bank di beberapa buah negara tertentu dan ia telah memperlihatkan keadaan yang lebih stabil di Malaysia,” ujarnya.

Mengenai perbankan Islam, Chen percaya perbankan Islam di rantau ini akan terus kukuh, disokong oleh pertumbuhan penduduk yang meningkat dan asas sistem perbankan yang teguh.

Katanya, sokongan peraturan akan terus mendorong pertumbuhan industri sementara rangka kerja Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) bakal memacu pertumbuhan perniagaan dan kredit bagi perbankan Islam.

Menyentuh berkenaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Anushka berkata, pi­haknya mengekalkan penarafan A3 de­ngan prestasi baik pada tahun ini.

Bagaimanapun katanya, pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka perlahan pada 2019.

“Hutang negara yang tinggi dilihat mampu mengekang kre­dit negara,” katanya.