Penganalisis Kanan/Naib Presiden Kumpulan Risiko Moody's Anushka Shah berkata agensi penarafan itu melihat tindakan memansuhkan GST sebagai kredit negatif jika dilaksanakan tanpa langkah-langkah pelarasan.

"Walaupun kerugian hasil tahun ini akan diimbangi oleh harga minyak yang lebih tinggi, perkembangan ini bukan struktur - atau berperanan sebagai- pengganti tetap GST itu sendiri.

"Tahap di mana langkah-langkah pengimbang - jika ada - akan membantu untuk memulihkan kerugian hasil daripada GST, akan membolehkan kami menentukan kesan yang tepat terhadap kedudukan fiskal Malaysia, seterusnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anushka bagaimanapun berkata pemansuhan GST akan meningkatkan pergantungan kerajaan terhadap hasil berkaitan minyak, malah mengurangkan asas percukaian.

Semalam, Kementerian Kewangan berkata mulai 1 Jun 2018, semua barangan dan perkhidmatan di Malaysia akan dikenakan sifar GST. - BERNAMA