Rumusan Moody’s itu terkan­dung dalam analisis kredit yang baru dikeluarkannya bertajuk Go­vernment of Malaysia -- A3 Stable yang menilai negara dalam empat kategori: kekuatan ekonomi yang dinilai sebagai ‘sangat tinggi (-)’; kekuatan institusi ‘tinggi (+)’; kekuatan fiskal ‘sederhana (+)’; dan kerentanan kepada risiko ‘sederhana (-)’.

Moody’s berkata, laporan itu merupakan kemas kini tahunan kepada pelabur dan bukan penafaran.

Agensi penarafan itu berkata, Malaysia sepatutnya mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.3 peratus pada 2017-2018 dan meneruskan lebihan akaun semasa.

Mengenai kestabilan luaran, agensi itu berkata, kestabilan rizab mata wang asing Malaysia tidak menggambarkan naik turun aliran modal dan mata wang.

Kecukupan rizab telah meningkat sedikit, kata agensi itu.

Moody’s berkata, kerajaan Malaysia telah menunjukkan komitmennya kepada pengukuhan fiskal, dengan tujuh tahun berturut-turut (2010-2016) mencatatkan defisit fiskal semakin mengecil, melibatkan pengurangan per­belanjaan bagi mengimbangi penjanaan hasil yang terus lemah.

Sementara itu, momentum pembaharuan tidak bergerak dan Moody’s tidak menjangkakan sebarang perubahan ketara sebelum pilihan raya akan datang.

Menurut agensi itu, faktor-faktor yang boleh membawa kepada penarafan positif termasuklah penumpuan lebih besar dalam metrik hutang kerajaan dengan negara-negara lain dengan penarafan yang sama, disertai penambahbaikan kemampuan hutang dan penurunan defisit fiskal.

Sebaliknya, tindakan penarafan negatif boleh didorong oleh dinamik hutang atau akaun fiskal Malaysia yang bertambah buruk, atau ketidakupayaan menangani impak kejutan luaran terhadap ekonomi sebenar atau sistem kewangan. – BERNAMA