Menurut firma penyelidikan PublicInvest Research, ini kerana TM dan Maxis Bhd. telah mengurangkan harga jalur lebar mereka untuk mencerminkan penurunan dalam harga rangkaian.

Katanya, dalam masa sama ia akan menyaksikan persaingan yang lebih sengit dalam ruang jalur lebar apabila lebih banyak pemain industri diberi akses kepada fiber.

“Selain itu, apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkemungkinan membuka rangkaian fibernya kepada syarikat telekomunikasi yang lain, kami berpendapat terdapat peluang harga talian tetap jalur lebar akan terus menurun pada masa akan datang,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Pada 20 Jun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus pada hujung tahun ini berikutan pelaksanaan MSAP.

Polisi MSAP mengenakan harga siling borong bagi pihak pembekal kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dalam pasaran.

Menurut Gobind lagi, penurunan harga borong bakal mengurangkan harga pasaran untuk pengguna.

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2018, TM mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM102 juta, menyusut 51.5 peratus berbanding RM210.5 juta suku sama tahun sebelumnya. Ia diraih daripada pendapatan yang susut 1.5 peratus kepada RM2.94 bilion.

Secara keseluruhan PATAMI terkumpul TM untuk tempoh separuh pertama tahun ini menyaksikan penyusutan 41.2 peratus kepada RM259.1 juta berbanding RM440.9 juta tempoh sama tahun sebelumnya. Pendapatan separuh pertama susut 2.7 peratus kepada RM5.78 bilion berbanding RM5.94 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Bazlan Osman berkata, penyusutan itu disebabkan oleh penurunan dalam perkhidmatan suara, data dan perkhidmatan berkaitan telekomunikasi lain serta peruntukan yang dikenal pasti berbanding hasil borong yang terkesan daripada penetapan harga akses oleh kawal selia.

“Tempoh separuh pertama 2018 adalah mencabar bagi kumpulan. Dengan landskap masa kini, perkara seperti perkembangan pantas pasaran sehinggalah kepada tekanan kawal selia, terus memberi lebih cabaran kepada prestasi kewangan kami,” katanya dalam sidang akhbar minggu lalu.

Sementara itu, penganalisis Maybank IB Research, Tan Chi Wei berkata, prestasi kewangan TM pada separuh pertama 2018 adalah di bawah jangkaan disebabkan peruntukan berkaitan MSAP dan cukai yang lebih tinggi.

“Hasil daripada segmen (mengikut produk) adalah sebahagian besar daripadanya kecuali data yang mana peruntukan MSAP menyebabkan pendapatan berkurangan. Namun, kami kekal berhati-hati terhadap jumlah peruntukan MSAP pada masa hadapan, memandangkan jumlah pengguna yang mencari akses semakin meningkat sejajar dengan pelan kelajuan tinggi yang baharu,” katanya.