Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yee Yang Chien berkata, setakat suku pertama bagi 2019 syarikat perkapalan itu membida projek bernilai AS$6 bilion (RM24.78 bilion) berbanding nilai bidaan yang sama bagi keseluruhan tahun lepas.

“Kami merekodkan 20 peratus kadar kejayaan bidaan daripada projek bernilai AS$6 bilion (RM24.78 bilion) yang kami bida tahun lepas dan ini merupakan peningkatan daripada 14 peratus yang dicapai pada 2017.

“Jadi, kami harap jumlah itu akan bertambah pada 2019,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan MISC di sini hari ini.

Yang Chien berkata, pihaknya tidak mengalami kekurangan peluang sebaliknya perlu bersikap memilih memandangkan setiap projek melibatkan pelaburan yang besar.

Beliau berkata, penilaian ketat untuk memilih kontrak kerja yang tepat adalah penting dalam memastikan syarikat dapat melaksanakan dan menyelesaikannya.

Katanya, MISC kini dalam proses membuat tiga hingga empat bidaan.

Pada Februari, dilaporkan bahawa MISC dan Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) merupakan pesaing utama bagi dua kontrak penting daripada pembangunan medan minyak dan gas Limbayong, Sabah oleh Petronas Carigali.

Ketika ditanya mengenai perkembangan itu, Yee berkata, tender itu masih terbuka dan akan ditutup pada akhir bulan ini.

Firma penyelidikan berkata, ia menjangkakan MISC akan memenangi projek itu bagi kerja carter kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan apungan (FPSO) manakala syarikat 66.5 peratus miliknya, MMHE mungkin memperoleh kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian.

Sebanyak 35 peratus daripada perolehan MISC tahun lepas adalah daripada projek berkaitan Petronas. Petronas memilili 62.7 peratus kepentingan dalam MISC.

Mengenai prospek, Yee berkata, 2019 akan menjadi satu lagi tahun mencabar bagi pasaran perkapalan.

“Pertumbuhan permintaan minyak mentah yang diangkut melalui kapal laut dijangka terjejas berikutan pengumuman Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum untuk mengurangkan pengeluaran selain ketidaktentuan geopolitik,” katanya.

Dari segi segmen gas asli cecair (LNG), beliau berkata, syarikat dijangka terus meraih manfaat daripada pengukuhan pada 2018 disokong oleh permintaan Asia, tambahan bekalan daripada projek pencecairan baharu dan peningkatan jumlah kapal LNG yang perlahan pada 2019.

“Ketika kadar serta-merta (diperoleh bagi mengangkut barangan melalui pengangkutan laut atau udara) mencapai angka tertinggi dalam tempoh sejak sekian lama semasa akhir 2018 namun pengekalan kadar itu masih tidak menentu pada 2019.

“Bagaimanapun, portfolio carter jangka panjang sedia ada yang ditetapkan akan menaja jamin prestasi kukuh unit penghantaran LNG MISC pada tahun kewangan akan datang,” katanya.

Segmen luar pesisir akan menyaksikan aktiviti cari gali serta pengeluaran minyak dan gas yang baik sekali gus syarikat akan menambah dua lagi aset baharu pada 2019 demi mencatatkan pertumbuhan pendapatan positif,” katanya. - BERNAMA