Unjuran lebih rendah itu berikutan kebimba­ngan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, kemungkinan memberi kesan kepada bekalan dan mengganggu keseimba­ngan pasaran semasa.

Penganalisis HLIB Research, Yip Kah Ming menggariskan empat faktor yang akan mempe­ngaruhi pergerakan naik turun harga minyak tahun ini terutama komitmen negara-negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC dalam perjanjian pengurangan bekalan minyak.

Menurut beliau, berdasarkan perjanjian terbaharu itu, Nigeria dan Libya bersetuju untuk mengehadkan gabungan pengeluaran mereka pada paras yang dicapai tahun lalu iaitu di bawah 2.8 juta tong sehari akan terus membantu mengukuhkan harga minyak global.

Katanya, pertumbuhan permintaan minyak global dianggarkan pada 1.51 juta tong sehari pada tahun ini dipacu oleh pertumbuhan ekonomi global yang sihat akan terus menyokong permintaan bagi industri dan bahan api pembinaan di negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pemba­ngunan (OECD) dan bukan OECD.

“Selain itu, walaupun pelan pengurangan bekalan dilanjutkan, ia masih tertakluk kepada semakan semula pada mesyuarat yang akan diadakan Jun ini. Jadi, dengan mengambil kira pemulihan harga minyak, kami tidak menolak kemungkinan mereka akan menarik diri daripada strategi tersebut kerana apa jua petunjuk ke arah mengurangkan magnitud bekalan akan memberi tekanan kepada harga mi­nyak,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.