Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata, pemain industri berpeluang mendapatkan butiran terperinci tentang perkembangan terkini dan peluang pelaburan daripada pihak berkuasa negeri-negeri yang berkaitan.

Katanya, pemahaman yang mendalam itu akan memberi manfaat kepada pelabur dalam membuat keputusan pelaburan untuk memilih lokasi yang pa­ling sesuai dengan keperluan dan kesesuaian strategi perniagaan mereka secara keseluruhan.

“Sesi taklimat ini adalah inisia­tif baharu yang dijalankan oleh MIDA sebagai tambahan kepada usaha berterusan kami dalam mempermudahkan urusan para pelabur. Ia akan dijalankan sepanjang tahun me­rangkumi 13 negeri di Malaysia.

“Ia juga akan berfungsi sebagai landasan untuk agensi kerajaan negeri mengemas kini komuniti perniagaan mengenai peluang pembangunan dan pelaburan terkini di negeri masing-masing,” katanya dalam kenya­taan sempena sesi taklimat khas pertama MIDA bagi Perlis di sini hari ini.

Sesi taklimat khas itu dihadiri oleh Pengarah Eksekutif Promosi Perniagaan MIDA, Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Perlis (MBI), Zulkafli Ahmad.

Sementara itu, Arham berkata, Perlis merupakan sebuah negeri yang unik serta menawarkan pelbagai peluang pelaburan sama ada bagi perniagaan atau percutian.

Katanya, pada tahun 2016, sebanyak 48 projek pembuatan telah dilaksanakan di Perlis dengan pelaburan berjumlah RM1.03 bi­lion, majoritinya adalah daripada domestik iaitu 65 peratus atau RM664.5 juta, dan bakinya sumber asing.

“Projek-projek pembuatan ini telah mencipta kira-kira 6,000 peluang pekerjaan di negeri itu terutama dalam industri kelengkapan pengangkutan, surat khabar, percetakan dan penerbitan, pembuatan makanan serta produk plastik.

“Malah, antara Januari hingga September 2017, terdapat dua projek pembuatan yang telah diluluskan di negeri itu dengan pelaburan berjumlah RM525 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkafli berkata, MBI sedang dalam perbincangan bersama 10 lagi pelabur berpotensi bagi projek Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di kawasan seluas 1,214 hektar berhampiran sempadan Thailand dan dijangka siap pada 2025.