MIDA dalam kenyataannya berkata, unit tersebut kini sedang bekerjasama rapat de­ngan negeri-negeri terlibat dan pihak berminat bagi memaklumkan dan mempromosikan EAP.

Katanya, MIDA setakat ini terlibat dengan pelbagai program kesedaran untuk menyediakan maklumat berkaitan ECRL termasuk wawancara bersama media, Mesyuarat Meja Bulat Pengeluar Malaysia-China dan Forum Prospek Malaysia-China.

“MIDA juga merancang untuk menganjurkan seminar dan acara perniagaan bagi mempromosi serta menerima maklumat daripada syarikat-syarikat yang berminat mengambil bahagian dalam pembangunan EAP,” katanya di sini hari ini.

Berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara MIDA dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC), MIDA sebagai agensi promosi pelaburan prinsipal akan mengenal pasti dan membantu syarikat-syarikat Malaysia bekerjasama dengan CCCC dalam EAP.

Tambah MIDA, EAP termasuk pembangunan taman perindustrian di pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia bagi menarik perdagangan dan pelaburan di sepanjang koridor ECRL.

Katanya, ia juga melibatkan penubuhan hub logistik bagi mempromosikan penghubung dan penghantaran barangan di bawah projek ECRL manakala stesen pembangunan ber­orientasikan transit (TOD) untuk menggalakkan pembangunan baharu dan menyokong pertumbuhan taman perindustrian.

“Kerjasama ini akan mewujudkan syarikat bertujuan khas (SPC) antara CCCC dan syarikat-syarikat Malaysia yang berminat untuk pembangunan EAP. CCCC akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan, perancangan pembangunan, strategi pemasaran termasuk pelaburan dalam projek.

“MIDA melalui rangkaian promosinya akan membantu penyediaan tanah yang sesuai untuk pembangunan projek. Di bawah MoU ini tiada tanah eksklusif akan ditentukan atau diberikan kepada mana-mana pihak,” ujarnya.

Kata MIDA, polisi tanah tertakluk di bawah bidang pihak berkuasa negeri dan syarat-syarat boleh dikenakan oleh pihak berkaitan bergantung pada kategori tanah yang dite­rapkan dan tanah yang dikhaskan untuk penduduk pribumi dan bumiputera tidak boleh dimiliki oleh orang a­sing.