Pada 2017, Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK pada 5.9 peratus, iaitu tertinggi sejak 2014 hingga menerima pujian daripada Bank Dunia, sebagai ‘pertumbuhan yang ketara pesatnya’ dan menjangkakan Malaysia akan ‘mencapai status (negara) berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang’.

Bagaimanapun, pada suku kedua 2018, ekonomi Malaysia berkembang pada 4.5 peratus, jauh lebih rendah daripada unjuran penganalisis. Ini menjadikan pertumbuhan KDNK negara pada separuh pertama berkembang 4.9 peratus hingga kerajaan menyemak semula KDNK tahun ini kepada lima peratus.

“Gambaran pertumbuhan yang menggalakkan ini nyata berbeza daripada sentimen golongan akar umbi, khususnya Indeks Sentimen Pengguna MIER secara konsisten mencatatkan aras yang lebih rendah daripada had keyakinan sejak tiga tahun lalu (2014 hingga 2017) dan merupakan tempoh terpanjang catatan paras indeks tersebut berada di bawah had keyakinan,

“Keadaan ini mencerminkan kebimbangan secara keseluruhan bahawa prestasi pertumbuhan Malaysia yang kukuh tidak menghasilkan penambahbaikan terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dari aspek material,” jelas BNM dalam buletin suku tahun bertajuk Perbezaan Antara Prestasi Ekonomi dengan Sentimen Orang Ramai yang diterbitkan baru-baru ini.

 

Berikut lima faktor yang digariskan BNM :-

Pengagihan pendapatan ti­dak sekata

Pada 2016, bilangan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 adalah lebih dua kali bilangan isi rumah yang berpendapatan lebih daripada RM10,000. Ini menunjukkan wujudnya pekerjaan dan upah yang tidak sekata merentas tahap kemahiran yang berbeza.

Antara 2015 hingga 2017, 54 peratus daripada jumlah pekerjaan bersih diwujudkan dalam segmen kemahiran rendah dan sederhana, yang pada puratanya membayar gaji masing-masing sebanyak RM1,095 dan RM1,493 sebulan.

Kos sara hidup meningkat

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, pelbagai kejutan seperti rasionalisasi subsidi, pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kelemahan ringgit menyumbang kepada kos sara hidup yang lebih tinggi.

Tekanan kos yang meningkat boleh dilihat dalam inflasi purata lebih tinggi iaitu 2.7 peratus selepas GST (April 2015–April 2018) berbanding purata sebelum GST sebanyak dua peratus (Januari 2009–Mac 2015).

Dalam tempoh sama, berikutan penyusutan nilai ringgit, kos barangan siap yang diimport dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP) turut meningkat dua peratus berbanding peningkatan yang lebih kecil sebanyak 0.8 peratus antara Januari 2009 hingga Mac 2015.

Paling ketara, 35 peratus daripada pendapatan purata isi rumah dalam B40 dibelanjankan untuk makanan yang mencatat kenaikan harga tertinggi dalam tempoh yang sama (inflasi makanan antara April 2015-April 2018: 3.8 peratus; Perbelanjaan lain: 2.3 peratus).

Isi rumah M40 dan T20 pula, mengumpul penampan pendapatan yang lebih tinggi disebabkan peningkatan pendapatan yang lebih besar. Ini memperkukuhkan lagi tanggapan bahawa penambahbaikan keadaan makroekonomi hanya memanfaatkan segmen tertentu masyarakat Malaysia, lantas melemahkan sentimen isi rumah.

Kemampuan memiliki rumah

Kadar pemilikan rumah pada 2016 ialah 76.3 peratus. Namun, impian rakyat Malaysia untuk memiliki rumah semakin lama semakin sukar dicapai kerana harga yang tidak mampu dimiliki di kebanyakan kawasan di negara ini.

Pada 2016, harga rumah di Malaysia secara purata adalah lima kali pendapatan isi rumah median tahunan (2009: 4.4 kali). Ini menjadikan rumah sangat tidak mampu dimilki berbanding piawaian tiga kali yang diterima pakai di peringkat global.

Berdasarkan pendapatan isi rumah median sebanyak RM5,228, harga rumah mampu milik maksimum di Malaysia dianggarkan bernilai RM282,000. Tetapi, harga rumah median sebenar ialah 11 peratus lebih tinggi iaitu pada RM313,000.

Kemampuan memiliki rumah yang semakin merosot sebahagian besarnya berpunca daripada ketidakpadanan bekalan dengan permintaan dan pertumbuhan pen­dapatan yang lebih perlahan. Kekurangan bekalan rumah mampu milik diburukkan lagi oleh fakta bahawa pelancaran rumah kebe­lakangan ini tertumpu kepada segmen harta tanah mewah yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Pada asasnya, pertumbuhan pendapatan isi rumah juga tidak sepadan dengan kenaikan harga rumah. Antara 2007 hingga 2016, harga rumah secara purata meningkat sebanyak 10 peratus, tetapi pendapatan hanya bertambah secara purata sebanyak lapan peratus.

Hutang isi rumah tinggi

Meskipun pertumbuhan hutang isi rumah menjadi lebih sederhana sejak kebelakangan ini, paras ini masih tinggi secara relatifnya iaitu 84 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2018. Antara 2014 hingga 2016, nisbah khidmat hutang isi rumah Malaysia meningkat daripada 30.9 peratus kepada 32.7 peratus.

Beban hutang yang tinggi juga lebih ketara dalam kalangan isi rumah berpendapatan lebih rendah dengan kebanyakannya terdiri daripada pinjaman peribadi dan kenderaan. Bagi 21 peratus isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000, lebih 60 peratus pendapatan mereka digunakan untuk membayar balik hutang.

Isi rumah yang dibebani hutang yang tinggi juga kurang optimis tentang kesejahteraan ekonomi mereka kerana lebih mudah terjejas oleh kejutan pendapatan dan perbelanjaan.

Persepsi mengenai rasuah

Antara 2015 hingga 2017, kedudukan Malaysia merosot secara berterusan dalam penarafan Indeks Persepsi Rasuah Transpa­rency International pada tangga ke-62 pada 2017 (2015: tangga ke-54).

Persepsi tentang rasuah melemahkan kepercayaan dalam kalangan isi rumah dan perniagaan bahawa mereka mempunyai peluang yang sama rata untuk mengejar aspirasi ekonomi masing-masing. Lebih membimbangkan, kajian menunjukkan bahawa rasuah boleh menjejaskan kesejahteraan ekonomi melalui ketidaksamaan pendapatan yang lebih ketara.Di samping itu, isi rumah juga terdedah kepada berita negatif yang berterusan terutama dalam media sosial, yang jauh berbeza daripada laporan berita dalam media arus perdana. Fenomena ini menambahkan lagi keraguan tentang kekukuhan ekonomi Malaysia.