Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, jumlah itu termasuk pengambilalihan Asian Finance Bank, permohonan lesen perbankan, penambahbaikan teknologi serta pembelian bangunan baharu bagi ibu pejabat MBSB Bank di Petaling Jaya.

Beliau berkata, bank memper­untukkan sejumlah RM250 juta bagi memperkukuhkan aspek pendigitalan bagi meningkatkan pengalaman pelanggan.

“Kami akan memperkenalkan aplikasi mudah alih dan e-dompet serta menaik taraf lima buah cawangan untuk menjadi cawangan digital menjelang suku ketiga tahun ini.

“Selain itu, kami juga akan memindahkan cawangan ibu pejabat sedia ada ke bangunan di Peta­ling Jaya yang bangunannya lebih efisien dan cekap tenaga,” katanya pada majlis pelancaran kempen PrimeWin CASA-i di sini hari ini.

Ahmad Zaini berkata, kempen tersebut diadakan bersempena ulang tahun pertama MBSB Bank.

Katanya, PrimeWin CASA-i menawarkan hadiah utama bernilai RM1 juta bagi pemegang akaun simpanan dan akaun semasa MBSB Bank.

Kempen itu dijalankan sepanjang tahun ini dan berakhir pada 30 April 2020.

Pada majlis sama, Ahmad Zaini turut memperkenalkan kad debit pertama MBSB Bank, MBSB Bank Visa Debit Card-i yang kini boleh dimohon di ke­semua 46 cawangannya.

“Kami menyasarkan 200,000 pemegang kad baharu dalam tempoh tiga bulan selepas pelancaran ini,” katanya.