Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, anugerah tersebut dapat memberikan imej positif dan menarik lebih banyak pelabur berpotensi serta pihak-pihak berkepentingan untuk melabur.

Menurutnya, bandar raya ini boleh dianggap antara kawasan industri berat utama negara melibatkan automotif dan komponen.

“Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan kerana ia menunjukkan Shah Alam masih lagi merupakan antara lokasi pilihan para pelabur dari dalam mahupun luar negara untuk menanam modal di kawasan pentadbiran MBSA,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari kepada Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan dalam satu majlis di sini, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE