Firma penyelidikan itu dalam satu nota berkata, harga saham Maybank telah melonjak 15.2 peratus dalam tempoh dua bulan lalu untuk mencecah harga sasaran RM10 pada 29 Ogos lalu.

Pada masa ini, penilaiannya tidak menarik bagi tahun kewa­ngan 2019 (FY19) kerana harga untuk pendapatan (P/E) 12.9 kali ganda lebih daripada satu sisihan piawai di atas purata lima tahun pada 11.3 kali.

“Atas sebab ini, kami menurunkan penarafan Maybank daripada ‘Tambah’ kepada ‘Pegang’. Kami sebelum ini telah me­nyemak naik saranan saham itu kepada ‘Tambah’ pada 27 Jun lalu ketika ia didagangkan pada RM8.68. Kami lebih suka RHB Bank untuk pendedahan kepada bank-bank Malaysia,” jelasnya.

Meskipun dengan peruntukan bagi pendedahan Hyflux, peruntukan kerugian pinjaman (LLP) Maybank bagi suku kedua 2018 (Q218) menurun 29.9 peratus tahun ke tahun, sebahagiannya disebabkan oleh asas yang lebih tinggi setahun lalu.

CIMB Research berkata, LLP tersebut juga jatuh disebabkan oleh masuk kira semula bernilai RM146.9 juta pada pinjaman tahap pertama, mungkin disebabkan oleh lebih peruntukan sebelum ini.

Jelas firma tersebut, LLP yang lebih rendah pada Q218 itu telah membantu bank terbabit merekodkan pertumbuhan keuntu­ngan bersih yang kukuh tahun ke tahun pada 18.1 peratus untuk suku tersebut.

Semasa panggilan persida­ngan, para broker berkata, pe­ngumuman Maybank tentang pendedahannya terhadap Hyflux berada pada S$658.6 juta (RM1.95 bilion) setakat penghujung Jun 2018, yang diklasifikasikan sebagai terjejas.

Dengan itu, ia telah menempah LLB bernilai S$106.3 juta (RM315.1 juta) pada suku pertama 2018 (Q118) bagi pinjaman yang terjejas itu. Walaupun dengan peruntukan yang besar, bank tersebut yakin untuk mencapai sasaran kadar caj kredit sebanyak 40-45 mata asas.