Kedua-dua syarikat dalam kenyataan bersama berkata, Maxis akan menyediakan dan memasang perkhidmatan serta prasarana rangkaian 5G di pembangunan perbandaran terbaharu Gamuda Land, Gamuda Cove.

Katanya, Gamuda Land juga akan bekerjasama dengan Ma­xis untuk memasang gentian di sebahagian daripada Gamuda Cove dengan kesalinghubungan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Kerjasama ini juga akan menyaksikan kedua-dua pihak meneroka penyelesaian peruncitan pintar dan bandar pintar dalam semua perbandaran Gamuda Land di Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng berkata, pihaknya melihat teknologi sebagai faktor utama dalam memacu perseki­taran yang pintar dan lestari pada masa depan.

Bagaimanapun, katanya, ban­dar pintar bukan hanya tentang kelebihan teknologi semata-mata kerana ia tentang perancangan pintar pada masa depan dan menggambarkan pertumbuhan jangka panjang bagi perbandaran Gamuda Land.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, komitmen syarikat itu adalah untuk memenuhi peningkatan gaya hidup digital setiap orang dengan mendekati lebih ramai individu, rumah dan perniagaan menerusi keupayaannya dalam penyelesaian berpusat.

“Ini adalah perkongsian yang penting kerana kami memanfaatkan potensi besar teknologi generasi seterusnya dan penyelesaian pintar,” katanya.

Perkongsian itu adalah susulan daripada kerjasama pada 2018 yang mana Maxis menyediakan pelan gentian MaxisOne Home yang disesuaikan bagi perbandaran twentyfive.7 Gamuda Land di Kota Kemuning, Selangor.