Kedua-dua syarikat dalam kenyataan bersama berkata, kerjasama strategik itu akan memanfaatkan kekuatan kedua-dua syarikat untuk membawa nilai dan faedah yang lebih banyak kepada pelanggan.

Menurutnya, ia juga akan mewujudkan aliran pendapatan baharu dan membuka pasaran baharu dengan memaksimumkan tenaga kerja dan sumber selain memacu skala dan kecekapan.

“Astro akan melancarkan gabungan baharu produk jalur lebar 30 megabit sesaat (Mbps) dan 100 Mbps dan kandungan untuk pelanggan serta suite penuh dengan kelajuan jalur lebar yang lebih tinggi dalam masa terdekat,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis, Gokhan Ogut berkata, syarikat mendapat dorongan dengan permintaan terhadap sambungan yang lebih baik di sebalik kempen Fibrenation berikutan semakin ramai rakyat Malaysia sebagai celik digital.

“Kami mendapat permintaan terhadap penawaran yang lebih berorientasikan kekeluargaan dan pelbagai perkhidmatan digital yang lebih meluas. Ini merupakan era baharu kesalinghubungan.

“Kerjasama baharu kami dengan Astro akan memberikan satu lagi alasan kepada pelanggan kami untuk memilih Maxis Fibre dan mempercepatkan strategi penumpuan kami dengan menawarkan fiber kepada lebih banyak kediaman di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, CEO Astro, Henry Tan berkata, pelanggan akan menyaksikan nilai dan faedah yang ketara daripada cadangan tersebut menerusi kandungan menarik dengan jaringan fiber berkelajuan tinggi.

“Kami sangat teruja dengan perkongsian dengan Maxis. Perkongsian ini juga bakal memberikan pelanggan pengalaman yang lebih baik terutamanya untuk tontonan On Demand yang membolehkan mereka menikmati lebih daripada 50 ribu rancangan melalui kotak atas set dan peranti mudah alih,” ujarnya.

HABIS...