Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata MATRADE juga berhasrat mempelbagaikan produk eksport tradisional negara termasuk komponen elektrik dan elektronik dan peranti penjagaan kesihatan dan perubatan.

Bercakap kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk kepada kakitangan MATRADE semalam, beliau berkata Malaysia ketika ini mempunyai perabot dan sarung tangan getah sebagai produk eksport tradisional.

Mengulas prestasi ekonomi negara yang berkembang 4.5 peratus pada suku pertama 2019, Wan Latiff menjangka eksport yang lebih baik di masa depan dengan unjuran asas bagi ekonomi Malaysia berkembang antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus pada tahun ini.

“Kami mengakui, pada suku pertama, prestasi Februari adalah kurang memberangsangkan berikutan minggu yang singkat dan cuti panjang dan kami perlu meningkatkan prestasi bagi menangani masalah itu,” katanya. - BERNAMA