Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018, sebagai sebuah ekonomi terbuka dan tersenarai dalam kalangan 25 negara pengeksport utama dunia, Malaysia akan menerima manfaat seperti usaha sama, pemindahan teknologi dan pelaburan langsung.

“BRI merupakan kerjasama plurilateral merangkumi 65 buah negara yang akan memberikan manfaat dalam menyatupadukan sumber ekonomi dan menyelaras dasar untuk menggalakkan pembangunan bersama kepada semua peserta.


“Inisiatif ini juga dapat meningkatkan perkhidmatan logistik, menyediakan kemudahan pembiayaan projek, mewujudkan pelbagai pekerjaan dalam semua sektor dan menggalakkan pertukaran budaya.

“Pada 2016, perdagangan Malaysia dengan negara di sepanjang BRI adalah melebihi RM850 bilion, malah angka tersebut dijangka terus meningkat dalam dekad akan datang,” jelas laporan berkenaan.

BRI mula diperkenalkan oleh China pada 2013 terdiri daripada enam koridor ekonomi meliputi lebih 60 peratus penduduk dunia, kira-kira 35 peratus perdagangan barangan dunia dan sekitar 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Menjelang 2050, rantau BRI dijangka menyumbang 80 peratus kepada pertumbuhan global dan meningkatkan lebih daripada tiga bilion penduduk dunia ke status kelas pertengahan.

Objektif utama BRI adalah untuk mewujudkan kesatuan yang aman, berinovasi, makmur dan terbuka bagi negara terlibat dengan fokus kepada mempertingkat rangkaian hubungan untuk integrasi ekonomi dan pembangunan bersama.

Jelas laporan itu lagi, lokasi Malaysia yang strategik di sepanjang Laluan Sutera Maritim itu akan memperkukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“BRI adalah rangkaian infrastruktur multidimensi yang meliputi laluan pengangkutan darat, air, udara dan disokong oleh projek utama landasan kereta api, pelaburan dan saluran paip,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, jelas laporan berkenaan, pelaksanaannya melibatkan pelbagai fahaman politik dengan perundangan dan peraturan berbeza yang mungkin menimbulkan cabaran rentas sempadan dan institusi.

“Dalam hal ini, negara peserta BRI perlu memainkan peranan dalam memudah cara sebarang isu berbangkit. Sebagai sebuah ekonomi kecil dan bersepadu di peringkat global, BRI bertepatan dengan agenda pembangunan negara.

“Kerajaan akan mengambil peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan penyertaan efektif sektor swasta, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” jelas laporan itu.