Presiden Persatuan Penyelidikan Cendawan Malaysia, Dr. Azhar Mohamad berkata, selain untuk makanan cendawan juga digunakan dalam pelbagai penghasilan produk hiliran, produk kecantikan dan kesihatan serta makanan haiwan ternakan.

“Melalui penyelidikan yang dilakukan oleh pelbagai pihak berkaitan industri cendawan di negara ini kini berkembang dengan pesat dan menawarkan pelbagai peluang untuk diterokai.

“Ramai yang tidak menyedari cendawan merupakan satu hasil pertanian yang boleh dimanfaatkan seratus peratus atau sifar pembaziran,” katanya kepada pemberita selepas Kursus Pengurusan Penanaman dan Penyakit Cendawan anjuran Persatuan Penyelidikan Cendawan Malaysia di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Labis di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini persatuan tersebut yang ditubuhkan lebih 20 tahun lalu mempunyai kira-kira 400 ahli yang terdiri daripada penanam cendawan, penyelidik dan usahawan produk hiliran cendawan di seluruh negara.

Katanya, kursus pada kali ini merupakan siri kedua daripada lima siri di seluruh negara mengikut zon yang ditetapkan iaitu zon tengah, selatan, utara, pantai timur serta Sabah dan Serawak bertujuan memberi bimbingan kepada pengusaha serta bakal usahawan cendawan.

“Apa yang menarik adalah penyelidikan cendawan turut melibatkan bidang nuklear yang mungkin menimbulkan pelbagai soalan dalam kalangan masyarakat.

“Namun itulah hakikatnya industri cendawan kini telah menggunakan aplikasi nuklear dalam pelbagai bidang penyelidikan khususnya untuk menghasilkan baka baharu,” katanya.

RAZAL AZUAN HAMZAH
RAZAL AZUAN HAMZAH 

Sementara itu, Razal Azuan Hamzah,36, dari Pontian berkata, banyak ilmu yang diperolehnya sepanjang mengikuti kursus sehari tersebut meliputi kaedah terkini penanaman serta pemasaran selain idea-idea baharu menghasilkan produk hiliran berasaskan cendawan.

Pemegang ijazah Pengurusan Sumber Manusia ini walaupun sudah mempunyai kerjaya tetap tapi berhasrat untuk menyambung semula usahanya dalam bidang penanaman cendawan yang terhenti selama hampir 10 tahun.

YAP SIEW MING
YAP SIEW MING 

Bagi Yap Siew Ming, 31, dari Kulai, tetap mengikuti kursus itu bagi mempelajari pelbagai teknik terkini pengurusan penanaman cendawan terutama pengurusan penyakit walaupun dia sudah menjadi pengusaha cendawan berjaya yang mampu menghasilkan kira-kira 5,000 kilogram cendawan sebulan.

“Industri ini sentiasa bergerak pantas dengan pelbagai penemuan baharu melalui pelbagai penyelidikan yang dijalankan oleh pihak berkaitan, oleh yang demikian kita perlu sentiasa mengikuti kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak,” katanya. - UTUSAN ONLINE