Ini selepas Presiden AS, ­Donald Trump mengumumkan tarif baharu sebanyak 10 peratus terhadap AS$300 bilion (RM1.25 trilion) import China berkuat kuasa 1 September depan.

Kenanga Investment Bank Berhad dalam nota kajian prospek separuh kedua 2019 me­nyatakan terdapat petanda jelas ekonomi dunia kehilangan momentum pertumbuhan disebabkan ketidaktentuan perdaga­ngan global.

Katanya, tidak cukup dengan China, Wakil Perdagangan AS (USTR) telah mengenakan tarif atau memberi amaran akan berbuat demikian kepada Mexico, Kanada, India, Vietnam, Taiwan dan beberapa pengeluar kereta dari Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Korea Selatan.

Kesannya, perdagangan menjadi ‘huru-hara’ dan lebih sukar sekali gus menyebabkan syarikat-syarikat membuat pertimbangan untuk memindahkan operasinya ke rantau atau negara lain.

Rata-rata penganalisis berpendapat perang dagangan yang berlaku memaksa syarikat terutama dari China memindahkan operasi mereka ke destinasi lain termasuk Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantau Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC), Michael W. Michalak mendedahkan banyak firma AS berminat untuk beroperasi di Malaysia dan berkemungkinan mempercepatkan usaha tersebut ekoran perang dagangan yang berpanjangan.

“Usaha negara yang secara berterusan meningkatkan persekitaran kawal selia akan menarik lebih banyak syarikat beralih ke Malaysia pada masa depan,” katanya.

Menurut bank Jepun, Nomura, Malaysia merupakan antara empat negara yang mendapat manfaat terbesar daripada perang dagangan selepas Vietnam, Taiwan dan Chile.

Majalah Economist pada ­November menyatakan sektor maklumat dan teknologi komunikasi (ICT) serta automotif di Malaysia, Thailand dan Vietnam turut menerima tempias manfaat.

Jika sebelum ini sudah ba­nyak syarikat menunjukkan minat untuk beroperasi di Malaysia, tidak mustahil tindakan terbaharu Trump itu akan membuatkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) bagai cen­dawan tumbuh selepas hujan.

Ia dapat dilihat melalui pe­ningkatan FDI yang diluluskan pada suku pertama 2019 apabila melonjak 73.4 peratus ­kepada RM29.30 bilion berbanding RM16.90 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menggesa negara mengambil kesempatan daripada krisis terbaharu itu dengan sewajarnya untuk menjadi lebih proaktif dalam merebut peluang yang ada.

Meskipun tindakan Washington itu mampu memberi impak positif terhadap FDI negara, namun terdapat kebimbangan ia turut menjejaskan eksport. Ini kerana eksport Singapura pada Jun merosot 17.3 peratus tahun ke tahun didorong oleh kejatuhan eksport produk elektronik dan bukan elektronik kesan perang perdagangan.

Berdasarkan statistik Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa dan Industri (MITI), eks­port pada Jun menguncup 3.1 peratus kepada RM76.17 bilion disebabkan penyusutan jumlah eksport ke China.

Menurut Pengurus Pemba­ngunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff, kemerosotan yang dihadapi oleh negara jiran, Singapura dijangka turut dirasai oleh Malaysia, namun kesannya tidak terlalu ketara sehingga menyebabkan penguncupan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau defisit dalam akaun semasa.

“Negara memiliki kelebihan eksport berbanding Singapura kerana tidak bergantung pada satu barangan dan perkhidmatan utama sahaja di samping memiliki kepelbagaian sumber pendapatan seperti minyak dan gas, barangan elektronik, komoditi serta perkhidmatan yang menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.