Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, menerusi pemerhatian data, lebih separuh daripada barangan di dalam bakul indeks harga pengguna (IHP) mencatatkan kenaikan.

Jelasnya, situasi itu tidak menjadikan asas luas bagi memba­yangkan negara menghadapi deflasi.

“Apabila bercakap mengenai deflasi, kita bercakap mengenai penurunan harga yang luas, keadaan yang mana permintaan merosot sekali gus menyebabkan syarikat terpaksa menurunkan harga untuk menarik permintaan, tetapi kita tidak melihat keadaan sedemikian.

“Inflasi negatif yang dicatatkan adalah didorong semata-mata oleh harga bahan api yang lebih rendah,” katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan Laporan Tahunan BNM 2018 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018 yang dikeluarkan BNM di sini hari ini.

Ekonomi Malaysia mencatatkan deflasi untuk bulan kedua berturut-turut pada Februari, dengan IHP turun 0.4 peratus dari­pada tahun sebelumnya.

Indeks itu bertukar negatif pada Januari untuk kali pertama sejak November 2009, turun 0.7 peratus tahun ke tahun di tengah-tengah penurunan ketara dalam kos bahan api runcit.

Tambah Nor Shamsiah, BNM mengunjurkan inflasi bagi tahun ini berada pada paras di antara 0.7 peratus hingga 1.7 peratus.

“Ia dipacu oleh dua perkara iaitu polisi dan dasar-dasar kerajaan serta unjuran harga minyak mentah dunia,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan mene­tapkan harga runcit bahan api adalah tertakluk kepada had paras harga pada RM2.08 seliter untuk petrol RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel sejak Mac lalu sehingga subsidi minyak bersasar dilaksanakan.

Sementara itu mengulas me­ngenai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019, Nor Shamsiah berkata, bersandarkan persekitaran global yang mencabar, momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh pada kadar 4.3 peratus hingga 4.8 peratus.

Beliau berkata, permintaan dalam negeri diunjur kekal sebagai pemacu pertumbuhan, disokong oleh peningkatan berterusan dalam aktiviti sektor swasta.

Sementara itu Laporan Tahunan BNM 2018 turut mendedahkan gaji permulaan siswazah di Malaysia mencatatkan penurunan sejak 2010.

Siswazah baharu yang berkelulusan diploma mendapat gaji sebanyak RM1,376 pada tahun 2018 berbanding RM1,458 pada 2010 manakala ijazah Sarjana pula memperoleh gaji sebanyak RM2,707, iaitu penurunan gaji yang ketara daripada RM2,923.

Antara tahun 2010 hingga 2017, bilangan pemegang diploma dan ijazah dalam tenaga kerja secara purata meningkat sebanyak 173,457 orang setahun.

“Sementara gaji permulaan siswazah dalam nilai benar menu­run, gaji permulaan benar bagi pekerja berkelulusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masing-ma­sing meningkat sebanyak 4.6 pe­ra­tus dan 2.3 peratus,’’ kata laporan itu.

Hutang luar Malaysia pula berjumlah RM924.9 bilion atau 64.7 peratus daripada KDNK setakat akhir 2018, adalah kekal terurus, meskipun secara relatifnya lebih tinggi berbanding median negara sedang pesat membangun setara.

Manakala hutang isi rumah kepada KDNK Malaysia susut kepada 83 peratus tahun lepas dari 84.3 peratus pada 2017.