Laporan itu merupakan hasil kaji selidik dwitahunan Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA) dan kumpulan pelaburan, CLSA Ltd. (CLSA) yang meliputi 12 buah negara Asia termasuk Australia.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Syed Zaid Albar berkata, pengiktirafan ini memberi dorongan kepada pihaknya untuk meningkatkan tadbir urus korporat yang juga hasil daripada usaha kolektif pelbagai pihak berkepentingan.

“Tadbir urus korporat akan terus menjadi tema utama dan kepentingan agenda pengawalseliaan SC bagi memastikan pasaran modal Malaysia sentiasa diiktiraf dalam usaha meningkatkan piawaian integriti dan kelakuan yang baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malaysia berjaya mencapai tahap purata atas purata serantau dalam beberapa bidang termasuk penguatkuasaan tegas dalam pendedahan korporat dan tadbir urus serta pengawalseliaan.

Skor bagi Malaysia berada pada tahap yang tertinggi (bersamaan dengan Australia) untuk kualiti juruaudit dan kawal selia audit berbanding pasaran lain.

Dalam pada itu, SC dalam kenyataan memberitahu, laporan itu telah mengiktiraf pihak pengawal selia yang telah mengambil langkah konsisten dalam mempromosikan pembaharuan tadbir urus syarikat dan korporat.

Jelas kenyataan itu lagi, laporan berkenaan juga memperakui penggunaan pendekatan inovatif untuk meningkatkan tadbir urus korporat seperti pengenalan undi dua peringkat untuk pelantikan semula pengarah bebas yang telah berkhidmat selama 12 tahun atau lebih melalui Kod Tadbir Urus Malaysia (MCCG).

“Laporan itu juga menerangkan budaya penguatkuasaan yang lebih tegas dapat dilihat melalui peningkatan jumlah tuduhan oleh SC terutama berkaitan dengan dagangan orang dalam. Lembaga Pemantauan Audit SC juga dipuji sebagai salah satu pemantau audit yang paling efektif di rantau ini,” ujar kenyataan SC.

Tambah SC, laporan tersebut turut menyarankan penggunaan teknologi untuk meningkatkan pemantauan amalan tadbir urus korporat yang merujuk kepada penggunaan analisis data SC untuk memantau penggunaan MCCG oleh syarikat tersenarai awam.

SC juga dijangka berkongsi penemuannya melalui penerbitan sebuah laporan tematik pada awal tahun depan. - UTUSAN ONLINE