MUSTAPA MOHAMED

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, CPTPP dimeterai oleh 11 negara anggota­nya terdiri dari Malaysia, Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam di Santiago, Chile.

“Kita berpendapat kedua-dua CPTPP dan RCEP akan berperanan sebagai platform perdagangan lebih terbuka dan saksama selain menjadi mekanisme rejim pelaburan di rantau Asia Pasifik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas merangkumi ASEAN, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand dengan gabungan penduduk seramai 3.4 bilion.

Mengulas lanjut me­ngenai CTPPP, Mustapa berkata, Malaysia juga sedang mengambil langkah sewajarnya untuk meminda undang-undang berkaitan bagi melengkapkan proses pengesahan dan membolehkan pelaksanaan perjanjian itu dengan seberapa segera.

“Sebagai anggota perintis yang berjaya melakukan rundingan mengikut terma kepentingan kita, sudah sewajarnya Malaysia tidak boleh melepaskan peluang me­rebut manfaat perjanjian itu. Sehubu­ngan itu, usaha bagi melengkapkan proses pengesahan berkenaan perlu dipertingkatkan,” katanya.

Mustapa turut menyifatkan pemeteraian CPTPP itu sebagai tepat pada masanya kerana membuktikan komitmen Malaysia ke arah sistem perdagangan yang terbuka dan liberal.

“Apa yang diperlukan dunia sekarang adalah aliran perdaga­ngan dan pelaburan yang lebih tinggi dan bukannya pasaran yang terhad,” katanya.

Mustapa berkata, walaupun tanpa penyertaan Amerika Syarikat, Malaysia mampu mendapat manfaat daripada akses pasaran ke negara-negara seperti Kanada, Peru dan Mexico, negara yang tidak mempunyai sebarang perjanjian perdagangan khusus dengan Malaysia.

Selain akses pasaran, penyertaan Malaysia dalam CPTPP juga akan menguntungkan negara dari segi mempertingkatkan aspek tadbir urus dalam kelompok sektor ekonomi utama, mengukuhkan kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota serta menggalakkan amalan piawaian antarabangsa.

“Perjanjian ini akan membantu kita untuk terus mengga­lakkan lagi agenda perdagangan dan pelaburan serta mengurangkan cabaran dalam persekitaran ekonomi global,” katanya.

CPTPP berjaya dimuktamadkan pada 23 Januari 2018 di Tokyo selepas lapan pusingan rundingan dijalankan di peringkat menteri dan pegawai kanan bermula awal 2017. – BERNAMA