Laporan itu menyebut pe­nembusan Internet di Malaysia kini pada tahap 80 peratus, dengan pengguna membelanjakan purata lapan jam lima minit sehari secara dalam talian.

“Selama dua jam 59 minit daripada tempoh itu digunakan untuk media sosial.

“Menduduki tempat keempat dunia dalam penembusan sosial mudah alih, Malaysia mempelopori negara di Asia Tenggara, termasuk Singapura, di tangga keenam, diikuti Thailand (lapan) dan Filipina (10),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malaysia katanya menawarkan peluang perniagaan yang unik, dengan 75 peratus pengguna internet membelanjakan wang mereka untuk e-dagang, manakala 58 peratus membe­lanjakan wang untuk platform dagang mudah alih.

Berdasarkan laporan itu, Malaysia mengatasi Singapura dalam penggunaan perbankan mudah aliih, apabila 66 peratus daripada pengguna internet di Malaysia menggunakan opsyen perbankan mudah alih berban­ding 64 peratus di Singapura.

Ini memberi gambaran me­ngenai kebergantungan yang semakin tinggi ke atas platform mudah alih.

“Penggunaan aplikasi e-hailing juga popular di Malaysia apabila 48 peratus pengguna internet menggunakan aplikasi seperti itu, ketiga tertinggi di dunia selepas Singapura dan Indonesia,” katanya.

Laporan tersebut juga mendapati Facebook masih kekal sebagai rangkaian media sosial paling popular di dunia dan kini boleh menjangkau 2.121 bilion pengguna Facebook menerusi Facebook ads.

“Walaupun pertumbuhannya perlahan, Facebook masih lagi mencatatkan peningkatan dalam pangkalan pengguna. Bagi suku terakhir tahun lalu, Facebook merekodkan 1.7 peratus atau 37 juta pengguna aktif.

“Instagram pula mempunyai bilangan pangkalan pengguna aktif yang lebih rendah berban­ding Facebook iaitu sebanyak satu bilion pengguna namun platform media sosial itu merekodkan pertumbuhan pengguna yang lebih cepat,” katanya.

Menurut beliau, Instagram berkembang 4.4 peratus atau 38 juta pengguna aktif pada tiga bulan terakhir 2018, manakala Twitter dan Snapchat masing-ma­sing merekodkan penurunan sebanyak 2.7 peratus dan 12 peratus.