Beliau menegaskan makanan memainkan peranan penting dalam elemen per­khidmatan kabin diikuti hiburan dan ­keselesaan tempat duduk kerana kejayaan sesebuah syarikat penerbangan bergantung kepada menepati kepuasan para penumpangnya.

Tidak menolak bahawa kadar tambang adalah faktor utama memainkan ­peranan penting, katanya, jika syarikat penerba­ngan itu menawarkan sajian yang sedap, orang ramai akan cenderung memilih syarikat tersebut.

Brahims Holdings Bhd. membekalkan makanan kepada 33 syarikat penerbangan
Brahim’s Holdings Bhd. membekalkan makanan kepada 33 syarikat penerbangan yang mana enam daripadanya adalah syarikat penerbangan yang diiktiraf sebagai 10 syarikat penerbangan terbaik di dunia.

MAS Catering (MC) telah diambil alih Brahim’s Airline Catering (BAC) dalam satu perjanjian pada 2002 yang mana BAC membayar RM170 juta untuk membeli 70 peratus pegangan dalam MC yang pada masa itu menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM240 juta.

Brahim’s bersama rakan teknikal LSG Skychefs memgambil alih operasi MC dengan persetujuan kerajaan ketika itu pada November 2003 dengan kontrak 25 tahun.

“Saya dengan sepenuh hati berharap sesiapa yang mengambil alih pengurusan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dapat memperuntukkan sumber yang diperlukan terutama memperbaiki bahagian penting ini iaitu ‘pengalaman inflite’ daripada aspek makanan dan juga mendengar reaksi daripada the frontline ambassadors untuk memahami pandangan ­pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Peruntukan lebih rendah

Jelas beliau, berdasarkan Perjanjian Penyajian Baharu (NCA) terdahulu bersama MAB (dahulu dikenali sebagai Malaysia Airlines System Berhad sebelum pelan pemulihan oleh Khazanah yang kemudiannya ditukar kepada MAB), peruntukan untuk makanan adalah terlalu rendah hingga susah untuk Brahim’s mengeluarkan makanan yang dapat memuaskan hati ­pelanggan kecuali menanggung sendiri lebihan kos penge­luarannya.

“Peruntukan kecil itu secara tidak langsung mengehadkan kreativiti kami dalam pemba­ngunan resepi dan ini boleh menjejaskan kepuasan penumpang.

“Syarikat penerbangan terkemuka (10 syarikat penerbangan teratas menurut Skytrax) yang turut mendapatkan khidmat penyajian makanan daripada Brahim’s sanggup memberikan peruntukan sekurang-kurang­nya dua kali ganda berbanding MAB demi memastikan menu makanan yang dihi­dangkan dalam penerbangan bersesuaian dengan status syarikat pe­nerbangan tersebut dan menepati cita rasa penumpang.

“Malah, penumpang juga se­ring memuji makanan ­Emirates Airlines sedap. Begitu juga ­British Airways, All Nippon ­Airlines, Qatar Airways, Tur­kish Airlines dan banyak lagi syarikat penerbangan antarabangsa terkemuka, ia daripada dapur pusat yang sama. Semua ini adalah pelanggan kami,” katanya.

Perlu penambahbaikan

Sehingga kini, Brahim’s membekalkan makanan kepada 33 syarikat penerbangan yang mana enam daripadanya adalah syarikat penerbangan yang di­iktiraf sebagai 10 syarikat ­penerbangan terbaik di dunia.

Sehubungan itu, Ibrahim meminta pemilik MAB supaya mempertimbangkan kepenti­ngan menyajikan hidangan yang berkualiti tinggi sesuai dengan statusnya sebagai satu-satunya syarikat penerbangan premium di Malaysia.

Tambah beliau, penambahbaikan menu makanan dalam masa sama boleh membantu menarik kembali lebih ramai penumpang untuk terbang bersama MAB.

Jelasnya, penumpang akan dapat merasakan apabila makanan itu tidak menepati cita rasa mereka, justeru, me­nyarankan MAB supaya berpada dalam melakukan penjimatan kos dan memperuntukan kos yang wajar di tempat sebe­tulnya bagi menjamin kepuasan penuh kepada para penumpang.

“Dengan bajet sedia ada, kami sering mendapat aduan daripada penumpang tentang pilihan makanan yang dihidangkan dalam MAB. Sebagai pembekal makanan, orang ramai akan mempersoalkan kebolehan Brahim’s untuk me­nyaji makanan yang memuaskan selera mereka sedangkan pilihan menu makanan diputuskan oleh syarikat penerbangan sepenuhnya.

“Saya mahu membantu membawa kembali zaman ke­gemilangan Malaysia Airlines yang telah memenangi beberapa anugerah Kru Kabin Terbaik Dunia yang menyajikan makanan yang cemerlang,” katanya.