Syarikat pengurusan lapangan terbang itu berkata, kadar PSC di negara ini berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) di bawah Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

“Kadar PSC di Malaysia untuk kedua-dua pelepasan domestik dan antarabangsa masih kekal antara yang terendah di rantau Asia Tenggara dan di dunia. Perbandingan boleh dibuat dengan hub setanding di rantau ini, iaitu Lapangan Terbang Changi di Singapura, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (Hong Kong), Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi (Bangkok), Lapangan Terbang Soekarno-Hatta (Jakarta) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (Manila).

“Malah, apabila dibandingkan model di Malaysia dengan lapangan terbang lain di rantau ini, dapat dilihat lapangan-lapangan terbang itu turut mengenakan cas yang sama untuk semua terminal tanpa mengira syarikat penerbangan yang beroperasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Disember lalu, MASSB menghantar dua writ saman berjumlah RM26.71 juta dan RM9.39 juta kepada AirAsia X Bhd. (AAX) dan AirAsia Bhd. (AAB) kerana kegagalan dua syarikat milik AirAsia Group Bhd. itu mengutip PSC seperti sepatutnya.

AirAsia selepas itu mempertahankan tindakannya dan menyatakan pendirian untuk tidak mengutip tambahan PSC sebanyak RM23 bermula Julai 2018 bagi penerbangan antarabangsa bukan Asia Tenggara kerana mendakwa terminal Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2) adalah lapangan terbang kos rendah dan penumpang tidak sepatutnya dicaj setara dengan lapangan terbang lain.

AirAsia kemudiannya menghantar notis tuntutan hampir RM480 juta kepada MASSB atas kerugian yang ditanggung syarikat itu ketika beroperasi di KLIA2.

Mengulas lanjut, MAHB berkata, Mavcom pada November 2017 telah menetapkan kadar PSC yang setara pada semua lapangan terbang di Malaysia bermula 1 Januari 2018 daripada RM50 ke RM73.

Kata syarikat itu, Mavcom menetapkan kadar yang sama melihat kepada keperluan untuk menuju ke arah mekanisme penentuan kadar PSC berasaskan kos yang lebih diterima pakai secara antarabangsa sejajar dengan prinsip yang digariskan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Selain itu, ia juga berasaskan keperluan untuk menurunkan subsidi di KLIA2 dan untuk meningkatkan kebajikan penumpang,” katanya. - UTUSAN ONLINE