Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, selain itu peraturan pinjaman sewa beli yang ketat dijangka berterusan sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, pengenalan model baharu dengan beberapa penambahan spesifikasi, reka bentuk dan harga yang kompetitif dapat membantu mengekalkan minat bagi pembelian kenderaan untuk separuh kedua tahun ini.

“Banyak pihak menjangkakan ketidaktentuan ekonomi akan berterusan pada separuh kedua 2019 disebabkan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, ini sekali gus memberi isyarat berhati-hati kepada pengguna dan perniagaan dalam melakukan perbelanjaan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagi separuh pertama 2019, industri automotif negara mencatatkan peningkatan 2.3 peratus dalam TIV kepada 296,334 buah berban­ding 289,599 buah yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Aishah berkata, peningkatan TIV itu disumbangkan oleh kenaikan dalam segmen kenderaan penumpang sebanyak 3.8 peratus atau 9,952 buah.

Beliau berkata, bagaimanapun segmen kenderaan komersial mencatatkan penurunan sebanyak 11.2 peratus atau 3,217 buah pada enam bulan pertama tahun ini.

“Jualan pada Mei merupakan yang tertinggi dalam tempoh di bawah semakan dengan jumlah 60,780 buah.

“Prestasi itu dipacu oleh pe­ningkatan kukuh permintaan kenderaan hasil daripada promosi sempena hari raya dan tawaran-tawaran lain oleh ahli MAA,” katanya.