Pengurus Besarnya, Zulkurnain Ayubsaid berkata, RFP merupakan suatu proses yang penting bagi memastikan ketelusan.

“Ia bukan satu tender mudah di mana kami akan memilih sesuatu pihak yang mampu mematuhi satu set keperluan. Di sini, kami buat secara terbuka bagi membolehkan sesiapa yang berminat untuk mencadangkan apa-apa yang mereka fikir baik khususnya mengenai pengendalian pelabuhan tetapi perlu di ingat bahawa kontrak tersebut hanya untuk selama enam tahun.

“Oleh itu, mereka perlu mengimbangkan antara pelaburan mereka ke dalam pelabuhan, kos operasi dan kemampanan kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkurnain yang juga salah seorang ahli Lembaga Pengarah LPA merangkap Pengurus Besar LPA menjawab dakwaan Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC), Datuk Wong Kii Yii dalam sebuah akhbar tempatan pada 8 Ogos lepas kononnya prosedur terbabit agak sukar dan pihak-pihak yang berminat tidak diberi masa yang mencukupi bagi menyediakan cadangan-cadangan mereka kerana tarikh tutup tender adalah pada 22 Ogos.

“Ia cuma kontrak pengurusan pelabuhan selama enam tahun dan tidak sebesar seperti yang Wong bayangkan,” kata Zulkurnain, sambil menambah bahawa ini bukan kali pertama sejak LPA ditubuhkan pada 2017 yang mana pelabuhan itu melaksanakan RFP untuk mencari pengendali yang sesuai bagi Liberty Wharf. - BERNAMA