Firma penyelidikan, MIDF Research menjangkakan ekonomi Malaysia lebih baik disebabkan permintaan global yang menggalakkan serta pemulihan harga komoditi.

Katanya, ekonomi China dan Singapura merekodkan prestasi memberangsangkan pada separuh kedua 2017 susulan sentimen perniagaan dan pengguna global memperlihatkan aktiviti eksport dan import yang agresif.

“Walau bagaimanapun, kami melihat aktiviti perdagangan global tahun ini lebih sederhana mengambil kira ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan dasar di negara-negara maju.

“Imbangan akaun semasa Malaysia mencecah jumlah ter­tinggi bagi tiga tahun, meningkat kepada RM40.3 bilion pada 2017 daripada RM29 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

Pada suku keempat 2017, akaun semasa Malaysia adalah RM12.9 bilion berbanding RM12.5 bilion yang dicatatkan pada suku sebelumnya yang membantu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemberi pinjaman bersih.

Menurut MIDF Research, ia juga adalah imbangan akaun semasa yang terbesar sejak suku ketiga 2014. Peningkatan itu didorong oleh lebihan barangan bersih pada RM34.1 bilion.

“Lebihan dagangan yang kukuh pada 2017 dengan pertumbuhan 18.9 peratus daripada aktiviti eksport yang telah memberi sumbangan besar,” katanya.

Ekonomi Malaysia menca­tat pertumbuhan 5.9 peratus pada 2017, melepasi unjuran yang dibuat kebanyakan penganalisis termasuk Bank Dunia.

Permintaan sektor swasta te­rus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dengan soko­ngan berterusan daripada sektor luaran manakala dari segi penawaran, kesemua sektor ekonomi terus berkembang, ke­cuali sektor perlombongan.