Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khai­ril Anuar Aziz berkata, kos penapisan meningkat sebanyak 15 peratus berpunca daripada kenaikan kos bahan api disebabkan peningkatan tarif gas sejak Januari 2019.

Katanya, kadar penggunaan kapasiti yang rendah di MSM Johor sejak mula beroperasi pada April tahun ini turut menjejaskan lagi prestasi kewangan syarikat.

“Sejajar dengan komitmen berterusan kami untuk melancarkan aliran tunai, antara fokus utama MSM pada 2019 terma­suk melupuskan aset-aset bukan teras, mengurangkan lambakan stok serta meningkatkan kecekapan bagi mengurangkan kos penapisan.

“Kami juga bercadang untuk mempelbagaikan perniagaan melalui produk-produk gula yang mempunyai nilai tambah untuk dieksport serta memacu pertumbuhan syarikat melalui potensi kerjasama bersama pemain industri yang mempunyai reputasi bagi meluaskan jejak pasaran di peringkat global,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MSM mencatat penurunan 14 peratus dalam hasil kepada RM959.84 juta bagi separuh pertama 2019, berbanding RM1.12 juta pada tempoh sama sebelumnya.

Ia berikutan beberapa faktor terutama pengurangan dalam harga jualan purata (ASP) bagi gula bertapis, pe­ningkatan kos bahan mentah berikutan nilai ringgit yang rendah, persaingan sengit dalam pasaran di samping kos melibatkan kilang penapisan MSM di Johor.

Pada separuh pertama 2019, MSM merekodkan pengurangan dalam ASP sebanyak sembilan peratus dan 13 peratus bagi sektor domestik dan industri yang berpunca daripada lambakan bekalan gula.

Ini adalah kesan daripada pengeluaran Permit Import (AP) baharu dalam sektor perindustrian yang mengakibatkan berlakunya persaingan harga.

Sementara itu, persaingan tinggi dalam pasaran eksport turut menyumbang kepada pe­ngu­rangan sebanyak tiga peratus dan 21 peratus dalam keseluruhan ASP dan jumlah jualan.