Logo terbaharu persatuan itu diperkenalkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa Malaysia Autoshow 2019, baru-baru ini.

Presidennya, Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata, logo berkenaan mencerminkan komitmen persatuan terhadap profesionalisme yang tinggi selain sasaran untuk menjadi pembekal kelas dunia.

“Landskap automotif kini berubah dengan pantas dan memberi gambaran jelas kepada kami untuk bergerak bersama bagi menghadapi cabaran mendatang sebagai satu entiti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran logo baharu itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Madani Sahari dan Timbalan Presiden P2SA, Datuk Noraini Soltan.

Tambah Musa Zahidin, selain keadaan pasaran yang mencabar dengan persaingan sengit daripada pembekal global, landskap automotif negara berubah dengan drastik sejak lima tahun lalu.

Katanya, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menjadi penyumbang utama kepada pengeluar komponen automotif tempatan dan mengambil petunjuk daripada mereka sekiranya mahu me­rebut peluang di luar Malaysia.

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada pe­ngurusan tertinggi Perodua iaitu Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, Pre­siden Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd., Masanori Takahashi dan Presiden Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Suhaimi Hashim kerana dedikasi dan komitmen mereka dalam membangunkan vendor tempatan,” ujarnya.

Pembelian komponen automotif tempatan oleh Perodua pada 2018 bernilai RM5 bilion. Syarikat itu dijangka membuat pembelian komponen bernilai lebih RM6 bilion menjelang 2020 menerusi aktiviti ­lokalisasi.

P2WSA setakat ini mempunyai 125 syarikat ahli dengan kekuatan lebih 100,000 orang.