Ketua Pegawai Komersil MASKargo, Jason Thomas berkata, penerbangan MH6170 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6 pagi hari ini dengan membawa empat tan metrik buah-buahan beku dan tiba di Shanghai pada 5.35 petang waktu tempatan selepas singgah di Kota Kinabalu.

Katanya, sebelum ini, durian Malaysia hanya dihantar ke China dalam bentuk pulpa atau pes.

“Ini adalah satu perkembangan yang baik bagi kami daripada segi pengembangan perniagaan. Lonjakan dalam eksport durian ini adalah disebabkan sekarang ini, China memberi kelonggaran dengan membenarkan import buah durian dari Malaysia.

“Buah-buahan ini disimpan dalam bilik sejuk sebelum dihantar melalui kontena kawalan suhu Envirotainers,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, MASkargo bekerja rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk memastikan bahawa syarat-syarat eksport yang ketat telah dipenuhi.

Katanya, subsidiari logistik kargo udara, Malaysia Airlines turut bekerjasama dengan pengendali lapangan terbang di China bagi melicinkan operasi.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pengeksport, BEHO Fresh Sdn. Bhd. dan kilang pemprosesan durian, PHG Ever Fresh Sdn. Bhd. kerana memilih MASkargo untuk penghantaran julung kali ini,” katanya. - BERNAMA