AGIL FAISAL AHMAD FADZIL
AGIL FAISAL AHMAD FADZIL 

Presiden Generasi Muda Ber­jaya (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, kerjaya dalam bidang tersebut menuntut banyak komitmen dan ia bukannya satu perkara yang boleh diceburi semua orang.

“Daripada kita mewujudkan lebih ramai usahawan, ada baiknya ia difokuskan kepada pembangunan usahawan sedia ada. Usahawan-usahawan sedia ada patut diberi perhatian dan bantuan anjakan supaya dapat bersaing dan menguasai pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kementerian juga harus berperanan supaya ekosistem pasaran negara kondusif kepada usahawan tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, KPU menyasarkan untuk melahirkan sejuta usahawan kecil dan sederhana dalam tempoh lima tahun akan datang selaras Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0) yang menyaksikan peralihan automasi dan teknologi baharu.

Dalam masa sama, kementerian juga meletakkan sasaran melahirkan kira-kira 200,000 usahawan setahun di seluruh negara dengan menumpukan perhatian kepada golongan B40 dan yang baru menamatkan pengajian.

Menurut Agil Faisal, soal da­na tidak sepatutnya menjadi isu pokok lagi kerana sepatutnya di peringkat ini, kerajaan memikirkan kaedah terbaik untuk me­ningkatkan daya saing usahawan dan mengembangkan produk mereka ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dalam hal ini, katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan perlu memperjuangkan produk-produk tempatan supaya ia diutamakan oleh setiap pihak kerana apa yang berlaku sekarang produk-produk tempatan sering dianak tirikan.

“Sebagai contoh produk perubatan kebanyakannya adalah yang diimport dan bara­ngan Malaysia tidak mendapat tempat, begitu juga de­ngan kos­metik. Difahamkan sekatan seperti lesen-lesen pematuhan antarabangsa menyebabkan pro­duk tempatan sukar pergi lebih jauh tetapi produk import senang dibawa masuk dan mendapat tempat.

“Ini adalah antara yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan supaya produk produk tempatan dapat dipasarkan lebih luas dan apakah langkah-langkah untuk perkukuhkan usahawan tempatan,” katanya.

Satu lagi tumpuan yang perlu dimainkan kerajaan ka­ta­nya, ialah sejauh mana ke­dudukan produk tempatan dalam lambakan produk import di pasar raya besar yang sehingga kini belum nampak keberkesanannya.