HAMZAH ZAINUDDIN

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kementerian itu menyediakan pelbagai insentif bagi mendorong dan menggalakkan koperasi mengembangkan perniagaannya di pelbagai peringkat.

Katanya, antara insentif kemudahan yang disediakan termasuklah pembiayaan mudah melalui Tabung Modal Pusingan, Bantuan Pembangunan Koperasi dan khidmat nasihat serta bimbingan.

“Bagi mengukuhkan pelan tindakan ke arah pencapaian sasaran perolehan RM50 bilion menjelang tahun 2020, peneraju sektor dalam kalangan koperasi diwujudkan seperti sektor perkhidmatan, kewangan, pemborongan dan peruncitan serta perladangan.

“Selain itu, kerajaan juga melaksanakan program mentor dan bimbingan melalui kerjasama dalam kalangan koperasi dengan membimbing kepada koperasi lain,” katanya menerusi ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Dr. Noor Zari Hamat dalam majlis Makan Malam Silaturrahim 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Timbalan Presiden Angkasa, Mutadho Bahri.

Dalam pada itu Hamzah berkata, Angkasa perlu memainkan peranan penting dalam menyatukan dan dapat mewakili gerakan koperasi di negara ini sebagai peneraju.

Menurutnya, strategi efektif harus dilaksanakan untuk meningkatkan daya saing termasuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi memenuhi keperluan dalam kualiti produk serta perkhidmatan yang ditawarkan. - UTUSAN ONLINE