MIRF 2019 yang berlangsung pada 18 hingga 20 Julai lalu menjana perolehan perniagaan melebihi RM72 juta berbanding RM65 juta pada MIRF 2018.

MIRF merupakan platform pertumbuhan untuk PKS tempatan, peruncit antarabangsa dan perniagaan francais yang membantu membentuk, memupuk model perniagaan dan strategi yang inovatif.

Ketua Perniagaan dan Transaksi Perbankan RHB, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, pihaknya mampu menjangkau liputan lebih luas kepada pengendali rantai peruncitan terkemuka negara selain pemilik francais sekali gus meningkatkan kadar penembusan segmen peruncitan PKS dengan MIRF.

“RHB akan terus memper­kenalkan penyelesaian mesra perniagaan dan ciri-ciri produk yang membuatkan perniagaan harian lebih mudah.

“Ia juga dapat membantu PKS mengoptimumkan sumber, menambah baik produktiviti dan mengukuhkan kelebihan bersaing,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden MRCA, Datuk Seri Gary Chua berkata, persatuan itu mempunyai tanggungjawab terhadap industri, komuniti dan orang ramai untuk mewujudkan platform pendedahan, peluang kerjasama, perkongsian dan jaringan melalui program seperti MIRF dan Persidangan Peruncitan MRCA.

“Saya juga percaya tanggungjawab kami adalah untuk memastikan semua pihak yang terlibat dalam industri francais dan peruncitan memiliki peluang yang sama rata dalam pasaran,” ujarnya.

MIRF 2019 telah menarik lebih 11,000 pengunjung yang terdiri daripada pemilik perniagaan, syarikat pemula niaga baharu, individu persendirian dan kehadiran delegasi lebih dari 10 negara.