Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa YPC, Datuk Dr. Noel Robert berkata, seba­nyak 110 pelajar berjaya ditawarkan biasiswa berkenaan dan baki selebihnya masih dibuka untuk permohonan.

Beliau berkata, pelajar yang mendapat tujuh kredit dalam peperiksaan SPM layak melanjutkan pengajian di peringkat Program Asasi di kolej berkenaan.

“Bersempena ulang tahun ke-20 Kolej Antarabangsa YPC, kami melihat adanya keperluan untuk menawarkan bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM ini untuk menyam­bung pengajian di Kolej Antarabangsa YPC.

“Ini kerana, pengajian di pe­ringkat Program Asasi tidak dibiayai oleh Tabung Perbadanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan YPC menawarkan biasiswa penuh ini kepada pelajar yang layak khususnya dari keluarga B40,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, Kolej Antarabangsa YPC menawarkan tiga program bagi kursus Program Asasi iaitu Perniagaan, Sains serta Perniagaan dan Teknologi Maklumat.

Selain Program Asasi, sebanyak enam program diploma ditawarkan iaitu Teknologi ­e-Perniagaan, Sains Komputer, Multimedia Kreatif, Pengurusan Perniagaan, Perakaunan dan Seni Kulinari.

Beliau berkata, Kolej Antarabangsa YPC juga menawarkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dengan kerjasama Liverpool John Moores University (LJMU), United Kingdom.

“Pelajar yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat asasi atau sesiapa sahaja yang mahu menyambung pe­ngajian di peringkat ijazah berpeluang berbuat demikian di sini dan mereka yang berkemampuan pula boleh memilih untuk belajar di Kolej Antarabangsa YPC di Cheras atau di LJMU, United Kingdom,” katanya.