Menteri Perusahaan Perladang­an dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, kewujudan kilang tersebut dijangka mampu memenuhi permintaan tinggi terhadap hasil pengeluaran kenaf bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

“Sebelum ini kerajaan menerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah mewujudkan Pusat Pemprosesan Kenaf di Kampung Air Tawar, Tok Bali serta di Rompin, Pahang.

“Bagaimanapun, bagi menampung permintaan yang semakin meningkat saban tahun, kita memutuskan untuk membina sebuah kilang baharu di Setiu. Kilang itu bernilai RM25 juta,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Program Industri Kenaf Rakan Rakyat (IKRaR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Berangan di sini, kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi LKTN, Datuk Mohd. Adhan Kechik; Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkefli Ali.

Dalam majlis tersebut, Siew Keong menyampaikan bantuan pendidikan berjumlah RM16,800 kepada 26 anak penanam kenaf yang ditawarkan menyambung pengajian ke universiti tempatan.

Beliau turut menyampaikan cek insentif penanaman kenaf 2017 berjumlah RM5.62 juta membabitkan 886 penanam kenaf di negeri ini.

Sementara itu, Zawahid Seman, 45, dari Kampung Bukit Awang, di sini dinobatkan sebagai penanam kenaf terbaik bagi pengeluaran fiber manakala Abu Zar Shafiien dari Perlis menerima anugerah penanam kenaf terbaik bagi pengeluaran benih.

Mereka masing-masing mene­rima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.