Menurut Khazanah, saham-saham tersebut dipindahkan menurut perjanjian pemberian pinjaman sekuriti yang dimete­rainya masing-masing dengan CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd., Credit ­Suisse Securities (Europe) Limited dan J.P. Morgan Securities PLC berkaitan dengan bon boleh tukar yang diterbitkan baru-baru ini.

“Bon boleh tukar itu tidak akan mempunyai kesan dilutif ke atas pendapatan sesaham CIMB,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Jelas Khazanah, penerbitan bon boleh tukar itu adalah sebahagian daripada aktiviti pembiayaan tetapnya dan telah menerbitkan 10 bon boleh tukar sejak 2004.

Semalam, media melaporkan Khazanah telah menjual 3.45 peratus pegangannya dalam bank kedua terbesar Malaysia itu.

UOB Kay Hian Malaysia Research melaporkan pada ­minggu lalu, Khazanah merancang untuk mengumpul AS$500 juta (RM2.06 bilion) dengan menerbitkan bon boleh tukar di CIMB.

Bon boleh tukar yang bakal matang pada 2024, boleh ditukar kepada saham biasa. Hasil daripada jualan itu akan digunakan untuk membiayai semula pinjaman dan memenuhi keperluan modal kerja.

Terbitan bon tersebut boleh menyebabkan pencairan empat peratus daripada kepentingan Khazanah dalam CIMB dengan mengandaikan nisbah penukaran satu untuk satu bagi bon.

Menurut mandatnya yang telah diperbaharui, Khazanah mengendalikan dua dana berbeza iaitu dana komersial dan dana strategik.

Secara amnya, dana ­komersial menumpukan kepada mewujudkan portfolio global yang mempelbagaikan aset dan pendapatan Khazanah untuk manfaat negara. CIMB berada di dalam dana komersial.