Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pihaknya juga turut mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan untuk mengurangkan tol secara berperingkat yang diserahkan beberapa minggu lalu.

Beliau berpendapat masih terdapat banyak cara untuk mengatasi isu tol dan ia terse­rah kepada kerajaan untuk menilainya.

“Untuk lebih adil kepada pihak lain, bukan sahaja Maju Holdings Sdn. Bhd. yang mengemukakan cadangan, terdapat banyak lagi cadangan yang tidak diumumkan.

“Sehingga kini terdapat lebih daripada lima kertas cadangan yang dikemukakan dan terpulanglah kepada kerajaan untuk menilainya,’’ kata beliau dalam temubual bersama Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sebelum ini Maju Holdings dilaporkan sudah beberapa kali membuat tawaran untuk mengambil alih PLUS namun tidak berjaya.

Terbaharu, syarikat itu menawarkan pengambilalihan dengan cadangan pengurangan kadar tol dari 25 hingga 36 peratus bergantung kepada tempoh lanjutan konsesi tol berkenaan, tetapi ditolak oleh kerajaan.

Mengulas tawaran Maju Holdings itu, Shahril Ridza memberitahu harga yang ditawarkan tidak menepati penilai­an pemegang saham utama iaitu Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, terdapat beberapa alasan pihaknya menolak tawaran itu tetapi yang paling utama ialah harga yang ditawarkan tidak munasabah kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan.

“Ia mudah (pembelian) sahaja. Kalau mahu beli aset dari­pada kita, kenalah harga yang munasabah sebab aset itu ada satu nilai yang boleh kita jadikan rujukan. Katakan nilai aset itu RM100, takkan nak tawarkan RM20 untuk beli,’’ katanya.

Beliau yang enggan mendedahkan harga aset PLUS itu berkata, jika Maju Holdings benar-benar mahu membeli aset tersebut, pembelian mestilah atas persetujuan pembeli dan penjual.

“Sebenarnya Khazanah dah lama berusaha untuk me­ngatasi isu tol dan sudah lebih setahun mengkaji pelbagai pilihan berhubung isu ini. Sebenarnya siapa yang menguasai lebuhraya bertol? Ia bukanlah pada pemegang saham tetapi pemegang bon.

“Kalau lihat pada nilai PLUS secara keseluruhan termasuk kutipan tol dan lain-lain ialah lebih RM40 bilion. Tetapi nilai yang paling besar ialah peme­gang bon sebanyak RM30 bi­lion,’’ katanya.

Sehubungan itu katanya, pemegang bon yang memberi dana untuk pembinaan lebuhraya adalah pemilik terbesar dan jika pengambilalihan dilakukan, ia mestilah mengambil kira kepentingan mereka.

“Mereka (pemegang bon) inilah pemilik le­buhraya. Jika kita tidak mengambil kira kepen­tingan mereka, nanti timbul kesukaran untuk kita mendapatkan dana pada masa depan,” jelas beliau.