Presidennya, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata, di sebalik sokongan terhadap agenda bumiputera, pengurusan Khazanah yang baharu itu juga perlu memberi fokus kepada beberapa perkara antaranya memacu pertumbuhan sektor swasta agar ia menjadi peneraju global.

Katanya, selain itu, ia perlu membantu merangsang pertumbuhan sektor-sektor strategik seperti akuakultur, ekonomi digital dan teknologi nano.

“Jadi, dalam usaha memperkasa agenda bumiputera ini, kami berharap Khazanah tidak mengulangi kesilapan dulu hingga meminggirkan usahawan-usahawan tempatan yang berkebolehan dan cemerlang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Khazanah dalam laporan ­Utusan Malaysia semalam memberi jaminan syarikat pelaburan negara itu tidak mengetepikan agenda bumiputera tetapi meminta usahawan bumiputera agar berubah mengikut peralihan pesat ekonomi negara bagi merebut peluang perniagaan.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, kerajaan memang menekankan agenda bumiputera de­ngan syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) juga memainkan peranan sama untuk menggalakkan ekonomi bumiputera.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, pihaknya bersetuju dengan ke­nyataan Shahril Ridza bahawa agenda bumiputera sehingga kini terlalu bergantung kepada sektor awam dan GLC.

Menurut beliau, dalam jangka masa terdekat ini kerajaan dan GLC tetap memainkan pera­nan penting untuk membantu usahawan bumiputera menceburi bidang-bidang ekonomi baharu atau yang dimonopoli oleh kumpulan tertentu.

“Kami berharap kerajaan dan GLC juga akan menjalani proses pembaharuan ini bersama-sama dengan staf, pembekal dan pelanggannya yang kebanyakannya, adalah bumiputera supaya dapat memberi impak serta merta,” katanya.

Pengerusi SME Corporation, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata, agenda bumiputera perlu terus diberi keutamaan dan ditambah baik memandangkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang dilaksanakan sejak 50 tahun lalu masih belum mencapai sasaran.

“Banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan golongan usahawan bumiputera juga perlu lebih agresif dalam menambah baik dan melengkapkan diri dengan kemahiran digital dan teknologi, sesuai dengan revolusi perindustrian 4.0.

“Dari segi perubahan pula, memang benar. Usahawan bumiputera harus menghapuskan mentaliti subsidi. Kerajaan hari ini juga dilihat tidak berminat untuk memberi bantuan dalam bentuk subsidi sebaliknya lebih kepada bantuan untuk mereka yang benar-benar ingin mene­roka bidang keusahawanan dengan serius,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Kegagalan menguasai keseluruhan ekosistem dan kitaran ekonomi negara dipercayai menjadi punca mengapa ramai usahawan bumiputera terus ‘suram’ dalam bidang perniagaan.

Katanya, ketika ini ekosistem tersebut dikuasai oleh bangsa tertentu yang menyukarkan usa­hawan bumiputera untuk bersaing secara lebih kompetitif.

“Usahawan bumiputera pada asasnya mempunyai kemahiran dan produk yang setaraf dengan bangsa lain. Katakanlah berniaga baju T sebagai contoh, kalau sesetengah rangkaian dikuasai bangsa tertentu kita tidak dapat jadi kompetitif.

“Maknanya mungkin kita boleh beli baju yang murah tapi bila nak cetak dan beli dakwat harga mahal sebab dikuasai bangsa lain. Ekosistem ini boleh menyekat daripada kita terus maju,” katanya.