VASU MENON
VASU MENON 

Ke manakah hala tuju pasaran selepas ini?

Ketidakstabilan pasaran akan berkekalan buat tempoh tertentu dan mungkin bertambah buruk dalam beberapa bulan akan datang dise­babkan pelbagai faktor global yang membelenggu pelabur termasuk ketidakpastian tentang ketegangan perdagangan AS-China, Brexit, dasar dolar AS dan prospek pertumbuhan ekonomi dan pendapatan.

Bagaimanapun, ketidakstabilan dan kejatuhan ketara pasaran juga mewujudkan pe­luang yang tidak harus dilepaskan oleh mereka yang sanggup menanggung risiko dan me­labur untuk jangka panjang.

Sambil sentimen pasaran bertukar ganti daripada keyakinan kepada kebimbangan, harga aset berisiko lazimnya tidak setimpal, jus­teru, pelabur seharusnya menyimpan sedikit dana, untuk merebut dan memanfaatkan peluang membeli sekiranya berlaku kejatuhan atau jika pasaran menjadi semakin tidak stabil.

Bagaimana perang dagangan memberi kesan terhadap pasaran global?

Pasaran global telah me­ningkat sejak Krismas tahun lepas didorong oleh jangkaan keputusan positif daripada perbincangan dagangan antara AS-China. Jika perbincangan gagal dan perang dagangan antara AS dan China bertambah buruk, ini pasti berita kurang positif bagi pasaran yang mungkin mengalami kejatuhan ketara.

Sebaliknya, hasil yang positif mungkin meningkatkan sentimen dan kesanggupan menanggung risiko dan baik untuk aset yang lebih berisiko seperti ekuiti dan bon pula­ngan tinggi.

Bagaimanapun, untuk me­ngekalkan sentimen positif, kita juga memerlukan ekonomi global yang kukuh dan tahap pendapatan memuaskan, tanpa sebarang kejutan negatif besar dari sudut ekonomi dalam kalangan ekonomi G3 (Jepun, AS dan Kesatuan Eropah) dan China.

Di seluruh rantau, tahap penilaian pelaburan berada antara paras berpatutan dan menarik. Adakah nilai pelaburan di Asia sekarang menarik?

Antara pasaran ekuiti (saham) global, kami paling positif terhadap Asia (tidak termasuk Jepun) memandangkan tahap penilaian rendah di rantau ini dan asas ekonomi serta pertumbuhannya kukuh.

Bagi pelabur yang mempu­nyai tahap pendedahan rendah kepada rantau ini dalam portfolio masing-masing dan sanggup menanggung risiko dan melabur untuk jangka perte­ngahan, inilah masanya untuk meningkatkan pelaburan secara beransur di pasaran saham serantau.

Bagaimanapun, perlu di­ingatkan ekuiti Asia turun naik dan dalam jangka pendek, segalanya bergantung pada perbincangan antara AS-China, walaupun penilaian bagi pasaran Asia sememangnya kini lebih menarik selepas kejatuhan besar tahun lepas.

Apakah tinjauan bagi harga minyak?

Kami meramalkan pertumbuhan global lebih perlahan pada 2019, tetapi bukan kemelesetan ketara yang akan me­ngu­rangkan permintaan mi­nyak secara mendadak. Kami melihat potensi untuk peningkatan sederhana harga minyak kerana Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) telah berjaya mengawal bekalan minyak.

Dalam pada itu, harga le­bih rendah akan mengekang pengeluaran minyak syal AS. Sehubungan itu, kami mengekalkan sasaran 12 bulan sebanyak AS$60 (RM245) setong bagi West Texas Intermediate (WTI) dan AS$65 (RM265.4) setong bagi Brent.

Harga minyak tidak mungkin melambung tinggi kerana jika kenaikan berlaku, pengeluar syal AS akan menambah pengeluaran dan mengehadkan kenaikan harga minyak.

Selepas tiada kenaikan kadar faedah baru-baru ini, apakah kesannya kepada komoditi lain seperti emas?

Emas kembali kukuh tahun ini selepas diabaikan pelabur pada 2018. Peranan emas untuk mempelbagaikan portfolio dan menjadi pelindung nilai semakin ketara di tengah-tengah ketidakpastian global tentang pertumbuhan dan dasar wang.

Emas mempunyai semakin ramai peminat yang berpendapat langkah Rizab Persekutuan AS menghentikan kenaikan kadar bermakna tiada lagi dua ancaman paling besar terhadap nilainya, iaitu kenaikan kadar faedah AS dan kekuatan dolar AS.

Memandangkan mata wang China lazimnya mempunyai hubung kait positif dengan permintaan emas China, harga emas juga telah meningkat sei­ring dengan nilai renminbi yang lebih kukuh walaupun pertumbuhan penggunaan China yang lembab dan jangkaan inflasi semakin lemah mengekang permintaan emas.

Baru-baru ini, kami telah menaikkan unjuran harga emas 12 bulan kepada AS$1,350 (RM5,511.4) perauns daripada AS$1,280 (RM5225.6) perauns. Peningkatan unjuran adalah kecil kerana kami tidak meramalkan sebarang peristiwa negatif ketara akan berlaku.