Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pemba­ngunan bakat yang komprehensif dalam ekosistem kewangan Islam di Malaysia sebenarnya telah lama dilakukan dengan fokus untuk melahirkan profesional bermula di peringkat paling bawah.

Menurut beliau, usaha itu meliputi pelbagai segmen me­rentasi industri kewangan se­perti Pusat Pendidikan Kewa­ngan Islam Antarabangsa (INCEIF) yang ditubuhkan se­bagai pusat pengajian tinggi khusus untuk kewangan Islam.

“Peluang akan muncul me­lalui perbezaan perbandingan dan kepakaran dalam bidang kuasa yang berlainan.

“Ia termasuk kerjasama dengan pakar industri yang mampu menyumbang kepada perkembangan dan pelaksa­naan amalan dan standard terbaik, amalan syariah yang harmoni serta dalam pembangunan dasar,” katanya dalam syarahan kewangan Islam sempena Forum Kewangan Islam Global 2018 di sini baru-baru ini.

Mengenai pertimbangan pelaburan dalam dimensi sosial serta amalan perniagaan, Zeti berkata, ia boleh dinilai berdasarkan tiga aspek korporat iaitu rantaian bekalan, tenaga kerja dan impak kepada komuniti.

Menurut beliau, sebelum wujud pembangunan seperti pada hari ini preskripsi dalam agama telah menjadi panduan dalam menilai impak keputusan pelaburan individu.

Katanya lagi, aktiviti kewangan dalam Islam perlu seiring dengan individu atau masyarakat bagi meningkatkan taraf kehidupan serta keadaan persekitaran.

“Ekonomi Islam mempu­nyai mekanisme yang diperuntukkan untuk tujuan kebaikan seperti dana wakaf, zakat dan sedekah di mana tadbir urus dan proses pentadbiran dilaksanakan secara jelas dan telus. Kewangan Islam memerlukan setiap aktiviti disaring agar ia mematuhi prinsip asas seperti sosial dan beretika.

“Terdapat beberapa persamaan bentuk kewangan yang bertanggungjawab dengan ke­wangan Islam dalam memberi nilai kepada masyarakat seperti fokus terhadap kesan jangkan panjang dan mempromosikan perkara yang baik,” ujarnya.