Menurut TNB, HER merupakan program inovatif yang memanfaatkan sains tingkah laku dan analisis data untuk mencapai objektif kecekapan tenaga.

Program ini dibiayai oleh Akuan Amanah Industri Bekalan Elektrik (MESITA) dan TNB.

“HER merupakan fasa kedua bagi program perintis yang telah dilancarkan pada Ogos 2015 dan berakhir pada Julai tahun lepas.

“Kira-kira 200,000 isi rumah di Lembah Klang, Putrajaya dan Melaka mendapat manfaat daripada program perintis itu dan meraih minat serta maklum balas positif daripada pelanggan,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, HER turut mencapai simpanan elektrik lebih 13,979 megawatt jam (mWh), bersamaan kira-kira 9,900 metrik tan pengelakan karbon dioksida.

Di samping itu, program berke­naan dipertingkat dan diperlu­as­-
kan dalam fasa kedua bagi menambah fungsi baharu untuk mewujudkan pengalaman pelanggan yang lebih baik dan menarik.

“Semua pelanggan domestik akan dapat mengakses widget (peranti serba guna) dan peralatan HER melalui portal web perkhidmatan pelanggan TNB, myTNB.com.my.

“Lebih 450,000 pelanggan domestik atau kediaman terpilih akan mendapat saluran komunikasi tambahan melalui HER bercetak dan e-mel HER (eHER),” jelasnya.

Jelas TNB, saluran komunikasi berkenaan membolehkan pelanggan mengakses maklumat tentang penggunaan elektrik dan membolehkan mereka memban­dingkan hasil dengan jiran melalui ciri kediaman yang sama.

Program ini juga termasuk Analisis Tenaga Rumah (HEA) bagi membantu pelanggan mengesan perkakasan yang menggunakan jumlah elektrik paling banyak di rumah mereka.

Selain itu, pelanggan juga akan menerima panduan mengenai kecekapan tenaga yang bersesuai­an, mengambil kira pelbagai maklumat termasuk tingkah laku penggunaan tenaga sebelum ini serta jenis rumah yang mereka diami.