Presiden KPPPTNB, Osman Alias berkata, berita mendadak yang diterbitkan oleh dua akhbar pada 13 November lalu meresahkan lebih 16,000 ahli kesatuan, seolah-olah urusan pelantikan tidak dibuat mengikut cara rasmi.

Beliau berkata, KPPPTNB menganggap penggunaan media untuk ‘memberi notis pemberhentian’ adalah aneh dan menimbulkan pelbagai pertanyaan serta ketidaktentuan dalam kalangan warga TNB.

“Semua tahu Datuk Seri Ir. Azman baharu sahaja disambung kontrak sebagai Pre­siden dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi tempoh dua tahun lagi iaitu berkuat kuasa mulai 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2020.

“Bila timbul cerita notis pemberhentian, kita jadi hairan. Seolah-olah ada agenda tersembunyi,’’ kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

KPPPTNB merujuk laporan yang diterbitkan dua akhbar pada 13 Mac lalu, bahawa Azman telah diminta untuk melepaskan jawatannya pada 8 Mac lalu.

Azman dilantik sebagai Presiden dan CEO syarikat uti­liti tenaga itu sejak 1 Julai 2012 dan telah berkhidmat selama 36 tahun dalam pelbagai jawatan di dalam TNB.

Osman menambah, pihak­nya tidak mempertikaikan perlu atau tidak perubahan pucuk pimpinan tetapi perubahan hendaklah dilaksanakan mengikut standard prosedur dan bukan menerusi media semata-mata.

Selain itu ujar beliau, KPPPTNB amat berharap seandainya benarlah pucuk pimpinan berubah, biarlah penggantinya datang dari­pada industri elektrik itu sendiri.

“Ini kerana industri eletrik atau utiliti negara adalah industri strategik dan kompleks yang memerlukan tenaga kepakaran orang dalam industri sendiri.

“Tidak sesuailah jika atas agenda tertentu, pucuk pimpinan TNB diletakkan orang dari­pada sektor hartanah atau kewangan, yang dikhuatiri mempunyai pendekatan tidak sama seperti diamalkan selama ini,’’ ujar beliau.

Menurut laporan dua akhbar berkenaan yang memetik ‘sumber’, Pengerusi UEM Edgenta Bhd, Amir Hamzah Azizan dikatakan bakal menggantikan Azman di TNB. Sebelum ini, Ketua Pegawai Strategi dan Kawal Selia TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin dikatakan akan menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan seterus­nya sebagai sebahagian daripada pusi­ngan jawatan.